KUALA LUMPUR: DAP perlu mengambil tindakan tegas dan menarik keluar wakilnya daripada Kabinet sekiranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diberikan pengampunan, kata seorang pemimpin DAP Kuala Lumpur.
Bendahari DAP Kuala Lumpur, Ben Fong, menyifatkan adalah tidak boleh diterima untuk parti itu terus berada dalam kerajaan sekiranya Najib dibebaskan daripada hukuman yang sedang dijalaninya.
Beliau menegaskan isu berkenaan perlu dilihat sebagai “garis merah” yang tidak wajar dilanggar DAP atas apa jua alasan.
“Ini ialah garis merah yang tidak boleh kita langgar,” katanya dalam satu kenyataan.
Gesaan itu dibuat ketika perhatian kini tertumpu kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) yang dijangka bermesyuarat esok bagi mempertimbangkan beberapa perkara, termasuk permohonan Najib berkaitan sabitan kesalahan membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut Fong, tindakan DAP meninggalkan Kabinet tidak semestinya bermakna parti itu mahu menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebaliknya, katanya, DAP masih boleh memberikan sokongan kepada kerajaan dari luar Kabinet bagi memastikan kestabilan politik terus terpelihara, di samping meneruskan agenda reformasi institusi.
“Tetapi kestabilan tidak boleh menjadi alasan untuk menerima segala-galanya.
“Pemimpin politik mesti mengakui bahawa terdapat beberapa batas yang tidak boleh dilanggar,” katanya.
Najib, 72, kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah atas kesalahan berkaitan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.
Beliau pada asalnya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta sebelum LPWP mengurangkan tempoh penjara kepada enam tahun serta denda kepada RM50 juta.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak Ogos 2022.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib turut berdepan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion selepas disabitkan pada Disember 2025 atas kesalahan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM2 bilion berkaitan 1MDB. Beliau sedang mengemukakan rayuan terhadap sabitan berkenaan.
Gesaan Fong itu juga memberi tekanan politik kepada DAP yang kini mempunyai lima menteri dan tujuh timbalan menteri dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan.










