Pemuda UMNO Kemuka Cadangan Bantu Golongan Muda, Pekerja P-hailing Dan Ibu Tunggal

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO mencadangkan beberapa inisiatif bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup, termasuk skim penyelenggaraan motosikal untuk pekerja p-hailing, peluasan skim sewa untuk dimiliki dan penambahan TASKA KEMAS di kawasan bandar.

Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata cadangan berkenaan dirangka berdasarkan masalah sebenar yang dihadapi golongan muda dan keluarga berpendapatan sederhana serta rendah.

Menurut beliau, kerajaan wajar mewujudkan Skim Penyelenggaraan Motosikal P-hailing di peringkat kebangsaan bagi membantu penghantar makanan dan barangan mengurangkan kos operasi.

Katanya, motosikal bukan sekadar kenderaan bagi golongan itu, sebaliknya merupakan aset utama untuk mencari rezeki. Penunggang aktif boleh menanggung kos kira-kira RM150 bagi setiap penyelenggaraan, malah ada yang perlu menyelenggara motosikal setiap dua minggu.

Beliau mencadangkan kerajaan bekerjasama dengan 232 pusat GIATMARA di seluruh negara, khususnya pusat yang menawarkan latihan membaiki motosikal.

Kerjasama itu, katanya, akan membolehkan pelatih GIATMARA memperoleh pengalaman praktikal, sementara pekerja p-hailing menikmati perkhidmatan pada kadar lebih rendah.

Muhamad Akmal turut menyambut baik inisiatif kerajaan Melaka menawarkan diskaun 30 peratus bagi penyelenggaraan motosikal kepada kira-kira 3,000 penunggang, dengan bengkel terpilih di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri.

Dalam isu perumahan pula, Pemuda UMNO mahu kerajaan memperbanyakkan Skim Sewa untuk Dimiliki atau Rent-to-Own bagi membantu golongan muda yang gagal mendapatkan pinjaman bank meskipun mampu membayar ansuran bulanan.

Beliau berkata sebahagian golongan muda, termasuk pekerja ekonomi gig dan peniaga kecil, mempunyai pendapatan tidak tetap atau rekod kredit yang menyukarkan permohonan pinjaman mereka diluluskan.

“Jadikan wang sewa itu sebagai bayaran untuk mereka memiliki rumah,” katanya sambil mencadangkan supaya kuarters dan rumah kerajaan yang kosong atau tidak diselenggara dibaik pulih untuk tujuan berkenaan.

Pemuda UMNO juga mencadangkan supaya TASKA KEMAS diperluaskan, terutama di kawasan bandar, bagi meringankan beban pasangan muda yang menanggung kos penjagaan anak sehingga RM600 atau RM700 sebulan bagi seorang anak.

Menurut Muhamad Akmal, kadar TASKA KEMAS yang jauh lebih rendah berpotensi memberikan penjimatan besar kepada keluarga berpendapatan sekitar RM2,500 sebulan.

Pada masa sama, sayap itu akan menggerakkan satu pasukan khas menerusi Biro Peguam Pemuda UMNO untuk membantu wanita yang “digantung tidak bertali”.

Pasukan tersebut akan memberikan penerangan mengenai proses undang-undang dan menghubungkan wanita terbabit dengan saluran bantuan guaman yang tersedia.

Pemuda UMNO turut mencadangkan mekanisme potongan gaji terhadap bekas suami yang gagal membayar nafkah seperti diperintahkan mahkamah. Bayaran itu dicadang disalurkan terus kepada anak dan bekas isteri sebelum baki gaji diberikan kepada individu berkenaan.

Bagi membiayai program kebajikan dan pembangunan negara, Muhamad Akmal mengulangi pendirian Pemuda UMNO supaya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Beliau berkata UMNO perlu menawarkan dasar yang realistik, boleh dilaksanakan dan memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya ketika mereka berdepan kenaikan harga barang, bil elektrik dan kos keperluan harian.

BBerkaitan

Latest articles