KUALA LUMPUR: UMNO menaruh harapan tinggi agar khabar positif terhadap nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dijadualkan berlangsung esok.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti berkenaan sentiasa mendoakan yang terbaik buat bekas Presiden UMNO itu dalam usahanya mendapatkan pengampunan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa keputusan akhir berhubung perkara itu tertetak sepenuhnya di bawah kuasa mutlak serta budi bicara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.
”Kita mengharapkan yang terbaik. Dan kerana kuasanya adalah hak mutlak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, dan saya yakin budi bicara dan kebijaksanaan Tuanku akan menentukan terhadap keputusan muktamad dan hak mutlak Tuanku untuk diumumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Khamis.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengulas mengenai jangkaan dan harapan parti terhadap mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan bersidang esok bagi membincangkan permohonan bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kebersediaan parti menghadapi cabaran politik akan datang, beliau menyambut baik ucapan dasar yang disampaikan oleh pimpinan sayap Pemuda UMNO.
Menurutnya, pengisian ucapan berkenaan berfokus kepada penyatuan dalaman serta analisis tuntas terhadap isu-isu semasa yang perlu ditangani parti.
”Saya lihat ianya ke arah pertamanya penyatuan dalaman, dan ianya memperlihatkan analisis terhadap isu-isu semasa yang harus disantuni dan didepani oleh parti.
”Mereka telah menyarankan agar kesiap-siagaan untuk menghadapi bukan sahaja pilihan raya di Negeri Melaka, tetapi secara umumnya untuk PRU-16 (Pilihan Raya Umum ke-16),” ujarnya lagi.










