KUALA LUMPUR – UMNO melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) yang didakwa seolah-olah mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kuasa pengampunan merupakan hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang termaktub dengan jelas di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, kuasa berkenaan tidak sewajarnya dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
“Jika PH boleh menyokong pengampunan yang diterima oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun beliau belum selesai menjalani hukuman penuh ketika itu, kenapa pula piawaian yang berbeza perlu dikenakan kepada pihak lain?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, UMNO bagaimanapun tidak berhasrat untuk mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan atau menuntut supaya sebarang keputusan tertentu dibuat.
Sebaliknya, katanya, apa juga keputusan yang dibuat menerusi proses yang sah perlu dihormati oleh semua pihak.
Beliau turut mendakwa pendirian terkini PH menyerlahkan “warna sebenar” gabungan itu yang menurutnya sudah beberapa kali meremeh dan mempertikaikan institusi Raja-Raja Melayu demi kepentingan politik.
Katanya, tindakan sedemikian juga didakwa bertentangan dengan prinsip serta syarat yang dipersetujui bersama dalam perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“UMNO kekal teguh mendukung institusi Yang di-Pertuan Agong serta kuasa-kuasa Baginda.
“Sebarang usaha bagi menekan atau menanam prasangka buruk secara langsung atau tidak langsung terhadap institusi ini adalah satu bentuk pengkhianatan kepada Perlembagaan dan negara,” katanya.










