MIRI: Kesemua lima individu yang berada dalam helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas di STOLport Long Lellang, pedalaman Baram, petang tadi disahkan meninggal dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri merangkap Residen Miri, Galong Luang, mengesahkan perkara itu selepas menerima laporan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya, helikopter berkenaan terhempas di hujung landasan kira-kira jam 3.40 petang, mengorbankan kesemua individu yang berada di dalamnya.
“Malangnya, kesemua lima individu di dalam helikopter itu disahkan meninggal dunia berdasarkan laporan JBPM dan KKM.
“Bagaimanapun, saya belum dapat memberikan nama mangsa yang meninggal dunia ketika ini,” katanya seperti dilaporkan Borneo Post.
Helikopter jenis BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF itu dikendalikan Layang-Layang Aerospace dan dilaporkan sedang dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Miri menuju ke Long Lellang sebelum terhempas.
Nahas berkenaan berlaku di kawasan hujung landasan STOLport Long Lellang dan mengakibatkan lima individu di dalam pesawat maut.
Identiti kesemua mangsa dijangka dimaklumkan selepas proses pengesahan oleh pihak berkuasa selesai.










