KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dijadualkan hadir di Mahkamah Sesyen Jenayah 9, esok bagi menghadapi pertuduhan berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Prosiding terhadap bekas Ahli Parlimen Baling itu dijadualkan berlangsung di hadapan Hakim Azura Alwi pada jam 9 pagi.
Perkara itu disahkan peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad ketika dihubungi, hari ini.
Menurut beliau, pihak pembelaan telah dimaklumkan mengenai pertuduhan yang akan dihadapi anak guamnya dan mereka akan melihat perkembangan lanjut ketika prosiding berlangsung.
Abdul Azeez sebelum ini ditahan SPRM pada 26 Ogos lalu bagi membantu siasatan susulan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji.
Beliau kemudiannya direman selama tujuh hari sebelum dibebaskan selepas tamat tempoh reman berkenaan.
Siasatan tersebut dipercayai berkait dengan beberapa perkara yang dibangkitkan dalam laporan RCI, termasuk aspek pengurusan, pelaburan serta proses membuat keputusan membabitkan institusi kewangan Islam itu.
Abdul Azeez bukanlah asing dengan prosiding mahkamah. Beliau sebelum ini pernah menghadapi pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.
Bagaimanapun, beliau dilepas dan dibebaskan daripada kes tersebut pada Disember 2022.
Pertuduhan yang bakal dibacakan esok merupakan kes berasingan daripada pertuduhan terdahulu, manakala butiran lengkap dakwaan hanya akan diketahui selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim.
Abdul Azeez pernah mengetuai Tabung Haji sebagai pengerusi sebelum meninggalkan jawatan tersebut pada 2018.










