300,000 Data Pelanggan, 1.88 Juta Transaksi Misi Rakyat Didakwa Dijual Di Pasaran Gelap

KUALA LUMPUR: Arena keselamatan siber tanah air digemparkan dengan pendedahan mengejutkan apabila pangkalan data platform popular Misi Rakyat didakwa diceroboh dan kini dijual di pasaran gelap atau dark web.

Berdasarkan maklumat tular, pangkalan data yang didakwa dikemas kini sehingga 7 September 2026 itu merangkumi sejumlah 300,518 rekod pelanggan yang memaparkan nama, nama pengguna, e-mel, nombor telefon, alamat serta koordinat lokasi peribadi.

Selain data pengguna, pembocor maklumat berkenaan turut mendakwa menawarkan sebanyak 22,508 rekod penghantar makanan (rider) termasuk butiran kad pengenalan, maklumat kenderaan, lesen memandu dan lokasi GPS semasa, di samping 28,562 rekod vendor yang mengandungi maklumat perniagaan serta butiran akaun bank.

Lebih membimbangkan, data transaksi e-wallet platform terbabit turut didakwa bocor melibatkan kira-kira 1.88 juta transaksi, sekali gus mencetuskan kebimbangan serius terhadap risiko penipuan kewangan, serangan phishing bersasar serta ancaman keselamatan fizikal.

Menyedari isu tersebut, pihak pengurusan Misi tampil mengesahkan bahawa mereka mengambil maklum berhubung dakwaan insiden kebocoran data yang dijual di pasaran gelap.

“Kami memandang serius setiap dakwaan yang menyentuh keselamatan data dan privasi pengguna kami,” jelas pihak pengurusan menerusi kenyataan rasmi.

Menurut pihak pengurusan lagi, pasukan keselamatan siber syarikat bertindak pantas dengan memulakan siasatan dalaman secara menyeluruh bagi mengenal pasti kesahihan dakwaan selain menyemak sama ada wujud sebarang pencerobohan tanpa kebenaran terhadap sistem mereka.

Walaupun platform itu didakwa dibangunkan dengan pelbagai lapisan kawalan keselamatan ketat termasuk penyulitan data, pemantauan berterusan dan kawalan capaian ketat, pihak pengurusan menegaskan mereka sama sekali tidak mengambil mudah perkara terbabit.

“Walau bagaimanapun, kami tidak memandang ringan sebarang dakwaan seumpama ini dan siasatan sedang giat dijalankan dengan penuh teliti,” ujar kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, Misi memaklumkan bahawa mereka sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa berkaitan dan komited memberikan kerjasama penuh selaras dengan peruntukan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Pihak pengurusan turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang panggilan, e-mel atau pesanan mencurigakan yang menyamar sebagai pihak Misi serta mengelak daripada mendedahkan maklumat peribadi atau kata laluan kepada mana-mana pihak.

“Kami komited untuk mengendalikan perkara ini secara telus dan bertanggungjawab, di mana sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan melalui saluran rasmi kami dari semasa ke semasa,” jelas kenyataan itu.

BBerkaitan

Latest articles