Isu Cabutan Khas loteri: PAS Talam Dua Muka – Guan Eng

KUALA LUMPUR: PAS didakwa tidak jujur dan tidak ikhlas apabila enggan mengakui peranan Pakatan Harapan (PH) yang pernah mengurangkan jumlah cabutan khas loteri daripada 22 kali kepada lapan kali setahun semasa mentadbir kerajaan persekutuan dari 2018 hingga 2020.

Penasihat DAP yang juga Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, tindakan parti berkenaan yang gagal menyatakan fakta sebenar mencerminkan sikap hipokrit dan amalan politik talam dua muka.

“PAS tidak jujur dan tidak ikhlas bila gagal menyatakan bahawa saya merupakan Menteri Kewangan yang pertama mengurangkan cabutan khas loteri daripada 22 kali kepada 8 kali setahun semasa kerajaan PH memerintah pada 2018-2020.

“Bilangan 8 kali ini dinaikkan kepada 22 kali oleh kerajaan gabungan PAS, UMNO, BN dan PN pada 2020 dan dikekalkan sehingga akhir pemerintahan kerajaan BN/PN pada akhir 2022,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Guan Eng turut mempersoalkan motif parti itu yang sering melemparkan pelbagai tuduhan berunsur keagamaan terhadap DAP.

“Tak puji tak apa tetapi soalannya ialah mengapa PAS suka menfitnah pemimpin DAP menentang Islam sungguhpun DAP hanya menentang PAS dan politik kebencian dan pembohongan mereka.

“Terpulang kepada rakyat untuk menentukan sama ada permainan politik talam dua muka PAS ini melanggari prinsip dan bersifat hipokrit,” tegasnya.

Kenyataan Guan Eng itu dibuat bagi merujuk dan memberi maklum balas kepada laporan berita berhubung tindakan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang mengemukakan beberapa soalan kepada PAS mengenai isu peningkatan cabutan khas berkenaan.

Rayer sebelum ini mempersoalkan penjelasan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mendakwa cadangan meningkatkan jumlah cabutan khas kepada 22 kali tidak pernah dibawa ke kabinet oleh Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, dan PAS hanya membantah selepas keputusan dibuat.

“Mengapa PAS tidak segera keluar daripada kerajaan selepas itu? PAS tidak boleh sekarang menggambarkan dirinya sebagai pemerhati yang tidak berdaya dan tidak mempunyai kuasa, sedangkan pada masa sama mendakwa menjadi sebahagian daripada kerajaan yang dasarnya kononnya dianggap tidak boleh diterima.

“Jika peningkatan cabutan khas loteri benar-benar bertentangan dengan prinsip PAS, mengapa PAS kekal dalam kerajaan selepas mengetahui keputusan itu sudah dilaksanakan?” kata Rayer.

Rayer turut mempersoalkan mengapa PAS tidak menuntut keputusan itu dibatalkan serta-merta, tidak mendesak Perdana Menteri campur tangan, atau mengumumkan secara terbuka bahawa mereka tidak lagi boleh kekal dalam kerajaan yang memperluas peluang perjudian tanpa kelulusan kabinet.

“Jika dasar itu begitu tidak boleh diterima, kekal dalam kerajaan sambil sekadar mengemukakan bantahan secara dalaman tidak boleh disamakan dengan memikul tanggungjawab politik.

“Jika Zafrul betul, PAS tidak boleh melepaskan diri daripada prinsip tanggungjawab bersama kabinet. Jika Takiyuddin betul, PAS mesti menjelaskan mengapa parti itu terus menyokong dan menyertai kerajaan selepas mengetahui dasar yang didakwa ditentangnya sudah dilaksanakan tanpa kelulusan kabinet.

“Walau apapun, PAS tidak boleh sekarang menulis semula sejarah dan menggambarkan dirinya sebagai pemerhati yang tidak bersalah,” tambah Rayer.

Isu cabutan khas loteri ini kembali hangat selepas Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah membangkitkannya bagi menjawab amaran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyatakan rakyat Kedah akan “memaki” Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jika gagal membantu menghapuskan perjudian di negeri tersebut.

BBerkaitan

Latest articles