KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan untuk meraih pingat emas pertamanya dalam sejarah penyertaan Kejohanan Kemahiran Dunia menerusi WorldSkills Shanghai 2026 yang berlangsung di China, bulan ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, kontinjen negara kali ini diwakili 22 peserta yang akan bersaing dalam 21 bidang kemahiran.
Beliau berkata, persiapan menyeluruh telah dilaksanakan termasuk menghantar peserta menjalani latihan serta menyertai pertandingan di beberapa negara seperti China, Rusia, Australia dan Perancis.
“Kita tidak pernah mendapat pingat emas di peringkat dunia. Jadi, kali ini kita benar-benar berazam untuk membawa pulang pingat emas.
“Kita memang bersungguh-sungguh kali ini. Kita tidak bermain-main dan benar-benar serius,” katanya pada sidang media, hari ini.
WorldSkills Shanghai 2026, yang dianggap sebagai Olimpik bagi bidang kemahiran, dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 27 September dengan penyertaan kira-kira 1,400 peserta dari hampir 70 negara.
Ahmad, yang juga Chef de Mission kontinjen Malaysia, berkata lapan daripada 22 peserta negara dikenal pasti mempunyai potensi tinggi untuk menyumbang pingat berdasarkan prestasi konsisten mereka dalam pertandingan dan program latihan sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan bidang kemahiran yang menjadi sandaran utama negara kerana tidak mahu menjejaskan semangat peserta lain.
Menurutnya, lapan peserta berkenaan menunjukkan prestasi membanggakan termasuk meraih pingat emas dalam pertandingan di peringkat ASEAN, Asia dan beberapa kejohanan antarabangsa.
Seorang peserta negara kini menjalani latihan dalam bidang Teknologi Kenderaan Rel di China, manakala peserta lain turut menjalani latihan khusus termasuk dalam bidang kimpalan dan masakan.
Ahmad berkata, dua peserta bidang masakan dihantar ke Perancis selama tiga bulan, manakala peserta negara turut meraih pingat emas dalam pertandingan kimpalan di Rusia serta sebuah kejohanan di Australia.
Selain latihan teknikal, kontinjen negara turut mengikuti tiga kem motivasi sebagai sebahagian daripada persediaan menghadapi kejohanan berprestij itu.
Dua kem berkenaan telah diadakan di Semenyih dan Outward Bound School, Lumut, manakala satu lagi dijadualkan berlangsung di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Shah Alam.
Ahmad berkata, kerajaan turut menyediakan insentif lumayan kepada peserta yang berjaya membawa pulang pingat.
Pemenang pingat emas akan menerima RM40,000, tambahan RM10,000 serta sebuah kereta Perodua Myvi.
Sekiranya peserta berkenaan turut menerima pengiktirafan Best of Nation, mereka akan memperoleh tambahan RM4,000.
“Maknanya, kalau menang emas dan mendapat Best of Nation, peserta boleh menerima RM54,000 serta sebuah Perodua Myvi,” katanya.
Jurulatih dan pakar yang membimbing pemenang pingat emas masing-masing akan menerima RM10,000.
Bagi pemenang pingat perak, insentif RM20,000 serta sebuah motosikal elektrik akan diberikan, manakala pemenang gangsa menerima RM10,000.
Peserta yang memperoleh Medallion for Excellence pula akan menerima insentif RM4,000.
Menurut Ahmad, Malaysia telah menyertai pertandingan WorldSkills sebanyak 15 kali, namun belum pernah meraih pingat emas.
Pada WorldSkills Lyon 2024 di Perancis, kontinjen negara membawa pulang satu pingat gangsa serta beberapa Medallion for Excellence.
Beliau berkata, pencapaian Malaysia muncul juara keseluruhan WorldSkills ASEAN dan menduduki tempat ketiga pada pertandingan peringkat Asia meningkatkan keyakinan bahawa peserta negara mampu mencipta sejarah di Shanghai.










