DAP Minta Pulau Pinang Gubal Enakmen CDF Demi Peruntukan Adil Semua ADUN

​KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP meminta Kerajaan Pulau Pinang di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, supaya menggubal Enakmen Dana Pembangunan Kawasan (CDF) bagi menjamin peruntukan yang adil dan sama rata kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

​Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah menerusi perundangan negeri itu penting bagi memastikan setiap wakil rakyat mendapat layanan saksama tanpa mengira latar belakang parti politik yang diwakili.

​”CEC berpandangan bahawa prinsip yang sama wajar diperluaskan ke peringkat Persekutuan serta dilaksanakan oleh semua kerajaan negeri di seluruh negara.

“Peruntukan pembangunan kawasan harus diberikan secara sama rata tanpa mengira latar belakang parti politik wakil rakyat yang dipilih,” menurut kenyataan itu hari ini.

​Selain isu peruntukan di Pulau Pinang, mesyuarat itu turut merumuskan beberapa ketetapan lain, termasuk komitmen parti untuk kekal menyokong Kerajaan Persekutuan MADANI sehingga tamat penggal Parlimen selaras mandat perwakilan.

​DAP turut menegaskan supaya agenda reformasi institusi diteruskan, khususnya desakan agar pindaan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta penetapan had tempoh jawatan Perdana Menteri dibahaskan di Parlimen pada sidang Oktober ini, selain mula menggerakkan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka dan Sarawak.

BBerkaitan

Latest articles