KUALA LUMPUR: Lima elemen utama termasuk ketelusan, akauntabiliti dan kesamarataan dicadangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dimasukkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik bagi memastikan pengurusan kewangan parti politik lebih teratur dan berintegriti.
Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM, Mohd Gunawan Che Ab Aziz, berkata elemen lain yang perlu diberi perhatian ialah kebebasan serta keterangkuman.
Menurutnya, aspek ketelusan perlu mewajibkan parti politik dan calon mendedahkan sumber pembiayaan, jumlah sumbangan diterima serta perbelanjaan yang dibuat.
Katanya, laporan kewangan berkenaan juga sewajarnya boleh diakses masyarakat bagi memastikan proses pendanaan politik tidak berlaku secara tertutup.
“Apabila perkara ini dilaksanakan, ahli politik mempunyai garis panduan yang lebih jelas dan sah dari sudut undang-undang untuk mengurus perjalanan parti, khususnya dalam aspek mendapatkan serta membelanjakan dana.
“Jika kita melihat amalan negara yang sudah melaksanakan sistem sedemikian, perkara ini bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan,” katanya ketika menjadi panel dalam pembentangan Konvensyen Pendanaan Politik, hari ini.
Mengulas aspek akauntabiliti, Mohd Gunawan berkata setiap parti politik perlu dipertanggungjawabkan terhadap ahli, pengundi dan badan pengawal selia.
Justeru, katanya, RUU berkenaan perlu menetapkan bentuk penalti dan hukuman yang jelas terhadap parti atau pihak yang melakukan pelanggaran, termasuk melebihi had sumbangan atau gagal mengemukakan laporan kewangan.
“Penguatkuasaan pula perlu dilakukan oleh badan kawal selia yang mempunyai tanggungjawab berkaitan, termasuk SPRM, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau mana-mana badan lain yang ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, elemen kesamarataan boleh diperkukuhkan menerusi penetapan had sumbangan dan pembiayaan awam bersyarat bagi memastikan parti politik, sama ada besar mahupun kecil, mendapat peluang yang lebih seimbang.
Mohd Gunawan berkata pendekatan berkenaan penting bagi mewujudkan persaingan politik yang lebih adil selain memperkukuh amalan demokrasi negara.
Bagi aspek kebebasan pula, beliau menegaskan badan pengawal selia perlu mempunyai kebebasan daripada campur tangan kerajaan mahupun mana-mana pihak luar.
“Badan penyelia memikul amanah besar untuk memastikan undang-undang ini dilaksanakan dengan berkesan dan adil,” katanya.
Sementara itu, elemen keterangkuman perlu memastikan pandangan masyarakat, pemegang taruh dan parti politik turut diambil kira dalam proses menggubal RUU Pendanaan Politik.
Katanya, penglibatan pelbagai pihak penting memandangkan parti politik merupakan antara pihak utama yang akan tertakluk kepada undang-undang berkenaan.
“Penglibatan semua pihak perlu bagi menghasilkan satu akta yang benar-benar menyeluruh, pada masa sama tidak menghalang atau menyekat perkembangan demokrasi,” katanya.










