Parti Politik Diminta Nyatakan Pendirian RUU Pendanaan Politik

KUALA LUMPUR: Semua 72 parti politik yang berdaftar di negara ini diminta mengemukakan pendirian rasmi secara bertulis berhubung cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pandangan rasmi daripada setiap parti diperlukan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai tahap sokongan, penolakan atau cadangan penambahbaikan terhadap RUU berkenaan.

Menurutnya, pendirian itu perlu dikemukakan secara rasmi dan ditandatangani Setiausaha Agung parti supaya ia benar-benar mewakili pendirian organisasi, bukannya pandangan individu.

Beliau berkata, pendekatan berkenaan juga penting bagi mengelakkan dapatan yang hanya bersandarkan tinjauan atau pandangan tidak rasmi dalam kalangan ahli politik.

“Kalau setakat ‘survey’ orang-orang politik, kadang-kadang dia cakap ia tidak mengikat parti politik. Sebab itu saya mencadangkan supaya kita mendapatkan respons rasmi parti politik.

“Dengan itu, kita mempunyai bukti yang lebih jelas mengenai parti mana yang bersetuju, tidak bersetuju atau mempunyai cadangan penambahbaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen Pendanaan Politik 2026 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini, hari ini.

Mengulas kemungkinan RUU berkenaan dapat diselesaikan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), Azalina berkata, perkara itu masih belum dapat dipastikan kerana tarikh pilihan raya akan datang belum diketahui.

Dalam pada itu, Azalina berkata, usaha mendapatkan pandangan pemegang taruh mengenai RUU Pendanaan Politik sudah melalui 18 sesi libat urus yang dilaksanakan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Daripada jumlah itu, 12 sesi dilaksanakan di peringkat negeri dengan penyertaan 1,544 peserta merangkumi wakil parti politik, agensi kerajaan, ahli akademik, pertubuhan masyarakat sivil, sektor perniagaan dan golongan belia.

Katanya, kerajaan kekal komited meneruskan agenda reformasi termasuk usaha mewujudkan kerangka perundangan berkaitan pendanaan politik.

“BHEUU mengambil alih kajian penggubalan RUU Pendanaan Politik sejak Mei 2023.

“Jemaah Menteri pada 8 September 2023 bersetuju secara prinsip dengan cadangan penggubalannya,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles