ASEAN Perlu Pendekatan Lebih Tegas Tangani Jerebu Rentas Sempadan

PUTRAJAYA: ASEAN perlu memperkemas pendekatan dalam menangani pencemaran udara rentas sempadan yang berpunca daripada pembakaran hutan dan kegiatan perladangan bagi mengelakkan kesannya terus dirasai negara-negara jiran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu berkenaan wajar diberi perhatian lebih serius di peringkat serantau berikutan kesannya yang bukan sahaja melibatkan alam sekitar, malah boleh mengancam kesihatan dan keselamatan masyarakat.

Katanya, keadaan jerebu yang teruk boleh memberi kesan besar terhadap golongan rentan, termasuk kanak-kanak dan bayi.

“Ada ruang untuk peningkatan. Saya rasa penyelesaian ASEAN mesti serius kerana ia mempengaruhi nyawa, terutamanya anak-anak dan bayi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Perladangan dan Komoditi, hari ini.

Beliau berkata, pendekatan menangani isu itu juga perlu mengambil kira aktiviti syarikat dari Malaysia yang mempunyai operasi perladangan di beberapa negara di rantau ASEAN.

Menurutnya, tindakan sewajarnya boleh dipertimbangkan sekiranya terdapat bukti yang mengaitkan mana-mana syarikat dengan aktiviti yang menyumbang kepada pencemaran.

Namun, Anwar menegaskan isu jerebu rentas sempadan tidak seharusnya dilihat dari sudut kepentingan atau kesalahan satu negara sahaja.

“Isu berkenaan perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada satu negara atau satu pihak,” katanya.

Isu pencemaran udara rentas sempadan kembali mendapat perhatian selepas Malaysia mengisytiharkan darurat di daerah Serian, Sarawak pada 4 September lalu susulan bacaan IPU yang mencecah 519, iaitu pada tahap berbahaya.

Kebakaran hutan di Indonesia turut dilaporkan antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara di rantau ini.

BBerkaitan

Latest articles