KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa supaya bersikap telus dalam menstruktur semula sistem percukaian negara tanpa berdalih di sebalik istilah baharu seperti cadangan sistem ‘GST-SST hibrid’ semata-mata kerana mahu mengelakkan penggunaan nama Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
​Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, sebarang pembentukan dasar percukaian tidak sepatutnya dibuat untuk mempertahankan pendirian politik lama, sebaliknya perlu memilih sistem yang paling cekap dan adil kepada rakyat.
​Beliau merujuk kepada pendirian Ahli Parlimen Kepong daripada DAP, Lim Lip Eng, yang secara terbuka menyatakan bahawa adalah lebih baik GST dikembalikan sekiranya SST memerlukan ciri-cirinya untuk berfungsi dengan lebih baik.
​”Jika SST memerlukan ciri GST untuk memperbaikinya, lebih baik GST dikembalikan. Tidak perlu membina sistem hibrid yang rumit semata-mata untuk mengelakkan nama GST,” ujar Lim Lip Eng dalam kenyataan sebelum ini.
​Ronald menyifatkan kenyataan tersebut sebagai signifikan kerana ia datang daripada pemimpin DAP, parti yang bersama Pakatan Harapan (PH) pernah menentang hebat pelaksanaan GST sebelum ia dimansuhkan pada 2018.
​Mengulas mengenai kelemahan sistem sedia ada, Ronald berkata Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) masih berdepan isu cukai bertindih (tax cascading), di mana cukai pada satu peringkat menjadi sebahagian kos di peringkat berikutnya dan akhirnya dipindahkan kepada pengguna.
​Sebaliknya, jelas beliau, GST mempunyai kelebihan melalui mekanisme kredit cukai input yang menghalang cukai daripada terus bertindih di sepanjang rantaian perniagaan.
​Sehubungan itu, beliau mendesak agar kerajaan memperincikan pelaksanaan sistem hibrid tersebut secara telus, termasuk sektor yang terlibat serta kesannya terhadap harga barangan dan kos sara hidup rakyat, bukannya sekadar memperkenalkan istilah tanpa perincian mekanisme yang jelas.










