KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid pada 2024 bukan bertujuan menjejaskan kesucian agama Islam atau melemahkan kedudukan Mahkamah Syariah.
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, keputusan berkenaan dibuat berasaskan prinsip cabaran ketidaklayakan, selepas mahkamah mendapati Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan melampaui bidang kuasanya dengan menggubal undang-undang berkaitan jenayah am.
Katanya, perkara itu berada secara eksklusif di bawah bidang kuasa Parlimen berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
“Saya harus mengambil ruang ini untuk menerangkan dan menjelaskan bahawa keputusan itu bukan satu bentuk tindakan oleh mahkamah untuk menjejaskan kesucian agama Islam atau melemahkan kedudukan Mahkamah Syariah, seperti naratif palsu oleh pihak tertentu.
“Mahkamah hanya bertindak sebagai pengadil yang membetulkan sempadan kuasa ini kerana jika membiarkan pencerobohan kuasa berlaku, ini bermakna kita membenarkan pelanggaran sistem federalisme dan anarki perundangan yang boleh meruntuhkan asas negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Perdana bertajuk ‘Integriti Pemangkin Jiwa Merdeka’ di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.
Turut hadir Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Pada 9 Februari 2024, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai terbatal dan tidak sah.
Keputusan majoriti 8-1 itu dibacakan Tengku Maimun yang mengetuai panel sembilan hakim, selepas mahkamah memutuskan dua lagi kesalahan yang dicabar adalah sah.
Tengku Maimun berkata, petisyen berkenaan dibenarkan kerana badan perundangan negeri menggubal undang-undang yang berada di luar bidang kuasanya, dan perkara itu tidak mempunyai kaitan dengan kedudukan Islam atau Mahkamah Syariah.
Keputusan berkenaan sebelum ini mengundang pelbagai reaksi, termasuk dakwaan yang mengaitkan penghakiman Mahkamah Persekutuan itu dengan politik.
Dalam syarahan sama, Tengku Maimun berkata, usaha mempertahankan integriti, sama ada di mahkamah atau institusi lain, menuntut keberanian moral yang tinggi.
Katanya, individu yang benar-benar berjiwa merdeka perlu mempunyai prinsip teguh dan tidak mudah tunduk kepada tekanan atau populariti.
“Seseorang yang benar-benar berjiwa merdeka mesti mempunyai ‘tulang belakang’ yang teguh dan prinsip yang utuh.
“Dia sama sekali tidak akan tunduk dan menggadaikan prinsip kebenaran semata-mata kerana dahagakan sorakan populariti murahan di media sosial, atau kerana gentar kepada tekanan daripada pihak atasan,” katanya.
Beliau berkata, integriti perlu diterjemahkan melalui tindakan, antaranya pemantauan yang telus, pelantikan berasaskan merit, penguatkuasaan undang-undang secara adil serta hukuman tanpa pilih kasih.
“Kepercayaan dibina menerusi bukti amalan harian, bukan laungan slogan semata-mata.
“Di sinilah letaknya kepentingan kepimpinan melalui teladan dengan mengotakan apa yang dikatakan,” katanya.
Tengku Maimun turut mengingatkan bahawa kewujudan ‘lingkaran dalam’ dalam organisasi boleh menjejaskan integriti apabila pemimpin cenderung memberi keistimewaan kepada kelompok sendiri atau melindungi mereka yang melakukan kesalahan.
Katanya, kuasa budi bicara juga perlu digunakan secara munasabah dan dalam batas yang ditetapkan undang-undang.
“Nilai integriti paling tulen terserlah ketika seseorang melakukan perkara benar walaupun tiada sesiapa melihat atau memantaunya.
“Ia adalah keupayaan seseorang mengekalkan prinsip dan melakukan perkara benar ketika mempunyai peluang melakukan sebaliknya,” katanya.










