Saravanan Didakwa Terima Suapan RM1.097 juta, Mengaku Tidak Bersalah

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berdepan tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1.097 juta berkaitan kelulusan kuota pekerja asing, empat tahun lalu.

Ahli Parlimen Tapah berusia 58 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Tidak mengaku, minta dibicarakan,” katanya ketika berdiri di kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Saravanan didakwa secara rasuah menerima tiga bayaran berjumlah RM150,000, RM350,000 dan RM597,000 daripada Pengarah Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, 65, menerusi Syed Amirul Syed Ahmad, 38.

Bagi jumlah RM597,000, wang berkenaan didakwa disalurkan melalui sekeping cek yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik Big Seven Ventures Sdn Bhd.

Kesemua bayaran itu didakwa diterima sebagai dorongan untuk Saravanan, yang ketika itu merupakan Menteri Sumber Manusia, memberikan kelulusan permohonan 1,000 kuota pekerja asing kepada TYKB Engineering Sdn Bhd.

Kesalahan tersebut didakwa berlaku di sebuah resort golf di Bukit Jalil, Jalan Telawi 3, Bangsar serta sebuah bank di Cawangan Jalan Klang Lama pada 16 Jun dan 7 Julai 2022.

Saravanan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika disabitkan, beliau berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, manakala Saravanan diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent.

Turut hadir di mahkamah bagi mengikuti prosiding itu ialah Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran serta isteri Saravanan, Datin Seri Kavitha Vivekanandan.

BBerkaitan

Latest articles