KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan telefon daripada Sheikh al-Azhar al-Sharif, Prof Dr Ahmad al-Tayyeb yang bertanyakan khabar serta mendoakan kesembuhan buat beliau susulan pembedahan yang dijalankan baru-baru ini.
Anwar menerusi hantaran di laman Facebook miliknya pada Sabtu menzahirkan penghargaan mendalam atas keprihatinan dan doa yang dititipkan oleh pemimpin tertinggi institusi keilmuan Islam terkemuka dunia itu.
”Saya amat menghargai doa serta ingatan beliau dan memaklumkan bahawa pembedahan telah berjalan lancar, sementara proses pemulihan juga berlangsung dengan amat baik, alhamdulillah,” katanya.
Menurut Anwar, perbualan tersebut turut menyentuh mengenai kesinambungan usaha dakwah dan pengajian bagi memperluas kefahaman Islam di peringkat global.
Jelas beliau, pandangan serta bimbingan Dr Ahmad al-Tayyeb sentiasa menjadi pedoman penting dalam mengangkat tradisi keilmuan Islam yang luhur demi membawa rahmat kepada seluruh umat.
Mengimbas kembali hubungan erat yang terjalin, Anwar berkata kunjungan Sheikh al-Azhar ke Malaysia sebelum ini telah meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada umat Islam di negara ini.
”Insya-Allah, kami berharap dapat kembali bertemu di Kaherah atau Kuala Lumpur bagi meneruskan ikhtiar dakwah dan pengembangan ilmu demi kemaslahatan umat sejagat,” tambahnya.










