Malaysia Perlu Kekal Berkecuali, Utamakan Diplomasi Dalam Isu China-Taiwan

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mengelakkan sebarang persepsi bahawa negara berpihak kepada mana-mana kuasa besar dalam pertikaian China-Taiwan, sebaliknya memperkukuh peranan sebagai penggerak penyelesaian secara aman, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, pendirian Malaysia terhadap Dasar Satu China bukanlah satu isu, namun sebarang kenyataan yang boleh ditafsirkan sebagai menghalalkan penggunaan kekuatan ketenteraan bagi menyelesaikan pertikaian berkenaan berisiko mengecilkan ruang diplomasi negara.

Menurutnya, dasar luar Malaysia yang telah lama terbentuk perlu dibezakan daripada pendirian terhadap kaedah penyelesaian konflik China-Taiwan.

“Dasar Satu China tidak harus membenarkan tindakan unilateral mana-mana pihak atau menghalang Malaysia daripada menyokong dan mengutamakan dialog damai, persefahaman dua hala serta sikap kekangan dan kawalan diri pihak-pihak terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu temu bual bersama Al-Jazeera berhubung isu China-Taiwan menimbulkan kebimbangan apabila kemungkinan penggunaan kekuatan ketenteraan disentuh sebagai salah satu pilihan.

Katanya, perbandingan situasi China-Taiwan dengan kemungkinan sebuah negeri keluar daripada Persekutuan Malaysia juga perlu ditangani secara berhati-hati kerana ia berpotensi memberi implikasi terhadap kedudukan diplomatik negara.

Beliau menegaskan, Malaysia tidak seharusnya dilihat menyebelahi mana-mana pihak dalam pertikaian yang mempunyai potensi untuk berkembang menjadi konflik lebih besar.

“Apabila perdana menteri dilihat cuba menganjurkan kemungkinan penggunaan kekerasan dalam isu ini, beliau tanpa disedari telah menyempitkan ruang diplomasi Malaysia,” katanya.

Takiyuddin turut memberi peringatan bahawa pendekatan sedemikian boleh menjejaskan kecenderungan ASEAN yang selama ini menekankan penyelesaian konflik secara aman, prinsip tidak campur tangan serta autonomi strategik negara anggota.

Sehubungan itu, beliau berkata Malaysia tidak perlu terperangkap dalam pilihan untuk memihak sama ada kepada Beijing atau Taipei, mahupun Beijing atau Washington.

Sebaliknya, katanya, hubungan konstruktif dengan China, Amerika Syarikat, Taiwan serta rakan kongsi antarabangsa lain perlu dikekalkan berdasarkan kepentingan nasional.

“Malaysia tidak harus membiarkan ia dilihat memihak kepada mana-mana kuasa besar dalam pertikaian dan konflik yang berpotensi besar menjadi lebih buruk,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Takiyuddin mempersoalkan laporan bahawa Kabinet tidak membincangkan kenyataan Anwar berkaitan Taiwan.

Menurutnya, perkara itu menimbulkan persoalan mengenai tahap koordinasi serta tanggungjawab kolektif kerajaan dalam menentukan hala tuju dasar luar negara.

Beliau berpandangan Malaysia sepatutnya memanfaatkan kedudukan strategiknya untuk menggalakkan China dan Taiwan mencari titik persamaan melalui rundingan dan dialog, bukannya menganggap peningkatan ketegangan sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

“Malaysia perlu menampilkan kepimpinan bijaksana yang mampu berdiri lebih tinggi daripada pertikaian yang wujud, berpandangan jauh dalam memelihara ruang strategik negara serta mengutamakan keamanan dan kestabilan,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles