Program NutriSEL Beri Manfaat 106,000 Pelajar Di 932 Sekolah Di Selangor

​PETALING JAYA: Program NutriSEL anjuran Kerajaan Negeri Selangor kini memberi manfaat kepada seramai 106,000 pelajar di 932 sekolah di seluruh negeri bagi memastikan golongan memerlukan mendapat akses kepada makanan bergizi.

​Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelaksanaan program yang kini memasuki minggu ketiga itu melibatkan peruntukan RM14 juta bagi tempoh tiga bulan iaitu Ogos, September dan Oktober.

​Beliau menjelaskan, program pemberian makanan bermutu dua kali seminggu itu disasarkan khas kepada murid dan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

​”Daripada keseluruhan kira-kira satu juta pelajar di Selangor, dianggarkan 40 hingga 45 peratus berada dalam kategori B40. menerusi NutriSEL, kita bantu kira-kira 100,000 pelajar, manakala 55,000 lagi menerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT) daripada Kerajaan Persekutuan.

​”Gabungan kedua-dua program ini membolehkan sekitar 150,000 hingga 160,000 pelajar atau hampir 15 peratus daripada keseluruhan murid di Selangor menikmati bantuan makanan berkhasiat,” katanya.

​Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Pelaksanaan Program NutriSEL di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Medan, di sini.

​Mengulas mengenai Daerah Pendidikan Petaling Utama, Amirudin memberitahu sebanyak 84 sekolah dengan lebih 6,000 pelajar terlibat dalam program berkenaan.
​Jelasnya, kualiti dan kesegaran makanan sentiasa dipastikan kerana pihak kerajaan negeri berurusan terus dengan pengusaha kantin sekolah, bukannya pembekal luar.

​”Pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) menilai prestasi pengusaha kantin. Pada masa sama, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) menerima laporan harian bagi memantau kualiti, keberkesanan serta kaedah penyampaian makanan.

​”Langkah ini bukan sahaja menjamin keselamatan dan kesegaran makanan, malah memberi tenaga serta tahap kesihatan yang baik untuk pelajar menumpukan perhatian kepada pelajaran,” katanya.

​Tambah beliau, sebahagian pelajar penerima NutriSEL juga merupakan peserta Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang memerlukan bekalan makanan sebelum menyertai kelas tambahan sebelah petang.

BBerkaitan

Latest articles