Agenda Reformasi Kini Dilabel ‘Reformati’, Perwakilan DAP Perlis Gesa Anwar Bertindak Tegas

KUALA LUMPUR — Kegagalan menunaikan beberapa pembaharuan utama menyebabkan slogan “reformasi” kini dipersendakan sebagai “reformati” oleh sebahagian rakyat, kata perwakilan DAP Perlis, Chew Chan Lee.

Beliau berkata rasa tidak puas hati semakin ketara apabila beberapa agenda yang pernah dijanjikan masih belum dilaksanakan atau disempurnakan, sekali gus mencetuskan kekecewaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan DAP.

Menurutnya, antara pembaharuan yang masih ditunggu ialah pemisahan kuasa antara badan kehakiman dengan eksekutif, pengasingan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta usaha meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah pengawasan Parlimen.

“Slogan reformasi telah digambarkan sebagai ‘reformati’. Rakyat sangat tidak berpuas hati kerana banyak dasar reformasi belum dilaksanakan atau ditunaikan.
“Disebabkan itu, rakyat kecewa terhadap Anwar, malah juga terhadap DAP,” katanya ketika berucap di Persidangan Kebangsaan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Sementara itu, Chew turut menuntut penjelasan mengenai hasil siasatan yang dikaitkan dengan Mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Menurut beliau, rakyat masih menunggu hasil siasatan berkenaan didedahkan secara jelas dan telus. Walaupun siasatan itu dikatakan telah selesai, katanya, masyarakat belum menerima penjelasan atau dapatan yang sewajarnya.

“Dalam kes Azam Baki, rakyat masih menunggu hasil siasatan. Walaupun dikatakan siasatan telah selesai, kita masih belum melihat sebarang penjelasan atau semakan yang sewajarnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menilai semula perkara tersebut bagi memastikan segala persoalan yang dibangkitkan masyarakat dapat dijawab.

Selain isu Azam, Choo menyentuh keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) yang diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau mendakwa keputusan berkenaan masih menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat, khususnya ketika kerajaan membawa agenda memerangi rasuah dan memperkukuh institusi negara.

Dalam pada itu, Chew turut membangkitkan isu yang disifatkannya sebagai “mafia korporat” yang didakwa berlaku ketika pentadbiran Anwar dan Kerajaan Madani.
Beliau berkata dakwaan sedemikian menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan komitmen kerajaan untuk memerangi rasuah. Bagaimanapun, beliau tidak menamakan individu atau memperincikan kes yang dimaksudkannya.

“Anwar mengatakan mahu memerangi rasuah dan Kerajaan Madani juga mengatakan mahu memerangi rasuah, tetapi kes ‘mafia korporat’ ini masih wujud. Rakyat tidak gembira,” katanya.

Choo turut merujuk gesaan Yang di-Pertuan Agong supaya isu berkaitan Tabung Haji diteliti secara menyeluruh atau “digali sehingga ke lubang cacing”.

Beliau juga membangkitkan isu berkaitan FGV sebagai antara perkara yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.

Menurutnya, Anwar perlu menunjukkan ketegasan dalam usaha memerangi rasuah dengan memastikan setiap dakwaan disiasat secara menyeluruh serta tindakan sewajarnya diambil berdasarkan undang-undang.

“Kita berharap Anwar akan memerangi rasuah sedaya upaya,” katanya.

Walaupun mengkritik kelewatan pelaksanaan reformasi, Chew berkata DAP Perlis berpandangan menteri daripada parti itu perlu kekal dalam Kabinet untuk meneruskan tugas sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Namun, beliau mengingatkan menteri DAP supaya tidak mencontohi amalan mana-mana pihak yang dikaitkan dengan penyelewengan atau salah guna kuasa.

“Menteri kita mesti mempunyai integriti yang tinggi dan meneruskan kerja baik untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Choo berkata keberadaan DAP dalam kerajaan perlu disertai syarat bahawa Anwar mempercepat segala pembaharuan yang telah dijanjikan, termasuk memberikan perhatian semula kepada siasatan melibatkan Azam.

Beliau turut mahu Perdana Menteri bersikap lebih tegas dalam menghadapi parti-parti yang dianggap menjadi musuh politik utama kerajaan. Bagaimanapun, Choo tidak menamakan parti berkenaan atas alasan perkara itu sensitif.

Kesimpulannya, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan reformasi, khususnya usaha memerangi rasuah, perlu dipercepat bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Madani dan DAP.

“Anwar mesti mempercepat dasar reformasi, terutama dalam perjuangan menentang rasuah,” katanya sebelum mengakhiri ucapan .

BBerkaitan

Latest articles