Akmal Cabar AMK Dedah Siapa ‘Talam Dua Muka’, UMNO Sedia Keluar Kerajaan Perpaduan

AYER KEROH: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, mencabar Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim, supaya berterus terang mengenai pihak yang didakwa mengamalkan politik ‘talam dua muka’ sehingga dikatakan menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan.

Muhamad Akmal berkata, jika dakwaan itu ditujukan kepada UMNO, beliau mahu Muhammad Kamil menjelaskan perkara tersebut secara terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, katanya, UMNO tidak gentar sekiranya Perdana Menteri mengambil keputusan untuk menyingkirkan parti itu daripada Kerajaan Perpaduan.

“Kalau UMNO yang kamu maksudkan sebagai ‘talam dua muka’, beritahu kepada Perdana Menteri supaya UMNO dikeluarkan daripada kerajaan.

“Kita tidak ada masalah. Kalau itu keputusan Perdana Menteri, kita terima,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Akmal turut mempersoalkan kenyataan Muhammad Kamil ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional AMK 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Jumaat lalu.

Muhammad Kamil dilaporkan mendakwa Kerajaan Perpaduan sedang berdepan pihak yang mengutamakan kepentingan politik mengatasi kepentingan rakyat dan negara, selain menyifatkan wujud pihak yang ‘berselingkuh secara terbuka’ ketika kerajaan berusaha memulihkan keyakinan rakyat serta masyarakat antarabangsa.

Susulan itu, Muhamad Akmal menuntut nama pihak yang dimaksudkan didedahkan, bukannya sekadar membuat tuduhan umum.

“Saya nak tanya Kamil, siapa yang kamu kata ‘talam dua muka’ itu? Cakaplah sekarang. UMNO, GPS atau GRS?

“Kalau benar kamu melihat Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar sedang diuji oleh pihak seperti itu, nyatakan siapa orangnya,” katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Akmal menegaskan kerjasama UMNO dan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan tidak pernah disertai sebarang perjanjian yang mewajibkan kedua-dua gabungan berkenaan bertanding bersama dalam setiap pilihan raya.

Katanya, realiti politik juga membuktikan bahawa setiap parti masih mempunyai kebebasan menentukan strategi pilihan raya masing-masing.

Beliau mengambil contoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebelum ini apabila Barisan Nasional (BN) tidak bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sedangkan PH pula bertanding bersama GRS.

“Ketika itu kami tidak ada masalah apabila kamu boleh bekerjasama dengan GRS, sedangkan BN tidak bersama GRS. Jadi jangan apabila keadaan berubah, kami pula dituduh bermasalah,” katanya.

Muhamad Akmal turut membangkitkan situasi menjelang PRN Sarawak akan datang yang menyaksikan BN tidak bertanding, manakala PH dijangka berdepan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Kalau GPS lawan PH di Sarawak, adakah kamu mahu kata GPS juga ‘talam dua muka’?” soalnya.

Sehubungan itu, beliau meminta Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan supaya menyampaikan sendiri kepada Anwar cabaran untuk mengeluarkan UMNO daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya parti itu benar-benar dianggap sebagai pihak yang dimaksudkan.

“Kita rasa okey saja, tiada masalah. Kamu boleh teruskan kerajaan pada hari ini. Silakan,” katanya.

Muhamad Akmal menegaskan UMNO tidak akan tunduk kepada tuduhan bersifat umum dan mahu sebarang dakwaan berkaitan kestabilan Kerajaan Perpaduan disertakan penjelasan yang jelas serta berasas.

BBerkaitan

Latest articles