MELAKA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) perlu berhenti melihat kecenderungan belia Melayu terhadap kepimpinan tokoh agama sebagai sesuatu yang perlu ditentang, sebaliknya memahami nilai dan faktor yang mendorong pilihan golongan muda berkenaan.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berkata dapatan South East Asian Social Cohesion Radar 2025 menunjukkan 37 peratus belia Melayu berusia antara 18 hingga 34 tahun menyokong tokoh agama memainkan peranan dalam kepimpinan politik dan masyarakat.
Menurutnya, angka itu jauh lebih tinggi berbanding kelompok usia lebih berusia, sekali gus menunjukkan wujud pencarian terhadap sandaran moral dalam kalangan anak muda ketika berdepan ketidaktentuan kehidupan.
“Ini bukan bermakna mereka menolak kemodenan, tetapi mereka sedang mencari dasar moral dalam dunia yang semakin tidak pasti.
“Apabila institusi politik dilihat hanya bersaing mendapatkan kuasa, sedangkan institusi agama menawarkan kepastian moral, pilihan itu menjadi sesuatu yang semula jadi bagi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kongres Nasional AMK dan Wanita PKR, pagi tadi.
Nurul Izzah berkata, AMK dan Wanita PKR tidak seharusnya meletakkan diri sebagai pesaing kepada institusi agama, sebaliknya perlu membuktikan bahawa politik yang dibawa PKR turut berpaksikan nilai keadilan, kejujuran dan kebenaran.
Katanya, pendekatan politik parti juga tidak wajar memisahkan nilai moral daripada aspek tadbir urus kerana kedua-duanya perlu bergerak seiring dalam membina keyakinan rakyat.
“Tugas AMK dan Wanita bukanlah untuk bersaing dengan institusi keagamaan, tetapi menunjukkan bahawa politik yang kita bawakan berasaskan keadilan, kejujuran dan kebenaran.
“Jika kita mahu memahami mengapa ramai pemuda Melayu melihat tokoh agama sebagai pemimpin, kita perlu berhenti menghukum dan mula mendengar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kepimpinan parti supaya tidak memandang ringan tekanan yang menghimpit generasi muda, khususnya peningkatan kos sara hidup dan perubahan pantas keperluan pasaran pekerjaan.
Katanya, sistem pendidikan juga perlu bergerak seiring dengan tuntutan kemahiran baharu supaya golongan muda tidak terus berdepan jurang antara kelayakan akademik dengan peluang pekerjaan.
Nurul Izzah pada masa sama menyeru pemimpin PKR supaya lebih kerap turun padang dan menerangkan kepada pengundi muda bahawa politik bukan medan untuk mengejar kesempurnaan mutlak, sebaliknya ruang untuk melakukan ikhtiar berdasarkan realiti semasa.
“Kita harus menjelaskan bahawa politik itu bukannya akidah. Kesempurnaan tidak pernah menghasilkan politik, sebaliknya politik dihasilkan melalui kompromi.
“Namun, Islam mengajarkan bahawa agama itu syumul dan yang mampu kita lakukan hanyalah berusaha mendekati kesempurnaan akhlak Rasulullah SAW,” katanya.










