MELAKA: Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menegaskan bahawa parti itu tidak akan mampu menjadi sebuah organisasi yang kuat sekiranya terus dibayangi kewujudan “parti dalam parti” mahupun perebutan kuasa secara fraksi.
Beliau berkata, kepimpinan parti perlu dibina atas dasar yang kalis fraksi serta bebas daripada sebarang bentuk pengaruh struktur kuasa tersembunyi demi memastikan fokus parti tidak tersasar daripada agenda memenangi hati rakyat.
”Kita ni tak mampu kuat sebagai sebuah organisasi kalau wujudnya parti dalam parti… dua nakhoda mengemudi satu kapal ataupun adanya tangan ghaib struktur kuasa tersembunyi di sebalik kuasa yang zahir.
”Setiap jam yang kita gunakan untuk perlawanan, bertelagah sesama sendiri adalah jam yang tidak kita gunakan untuk memenangi hati rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR, pagi tadi.
Mengulas lanjut, Nurul Izzah turut mengingatkan para perwakilan agar bersikap jujur dan tidak terperangkap dengan godaan kuasa tatkala parti kini berada dalam blok kerajaan.
Menurutnya, menjadi pembangkang dan mengkritik merupakan perkara yang mudah, namun mentadbir kerajaan secara benar memerlukan tahap integriti yang tinggi serta kompromi yang berprinsip.
”Mengkritik itu mudah. Ya, menjadi pembangkang itu memang mudah. We’ve been there, we’ve done that. Berkerajaan dengan baik, berkerajaan dengan benar adalah kerja yang jauh lebih sukar,” jelas beliau.
Beliau turut menekankan kepentingan menentukan batas atau red line dalam sebarang kompromi politik agar parti tidak mengorbankan prinsip asas pertarungan menentang rasuah dan kleptokrasi.
”Ada dua jenis kompromi: Satu, kompromi demi kebaikan yang lebih besar… Satu lagi, kompromi yang membuka ruang kepada kejahatan dan rasuah berakar umbi. So, we have to define our red lines,” tegasnya.
Dalam pada itu, Nurul Izzah turut membawa naratif baharu pemerkasaan wanita dengan mengajak perwakilan melihat kepada khazanah dan sejarah intelektual Islam.
Beliau mempersoalkan kecenderungan masyarakat moden yang masih meragui keupayaan wanita untuk memimpin, sedangkan sejarah Islam selama lebih 13 abad merekodkan peranan penting wanita sebagai guru dan sumber rujukan ulama.
Beliau menegaskan bahawa sumbangan wanita dalam bidang keilmuan dan kepimpinan adalah satu kebiasaan dalam tamadun Islam.
”Selama lebih 13 abad, wanita Islam menjadi guru kepada para ulama, mengajar hadis, mengeluarkan ijazah keilmuan, memelihara khazanah ilmu dan membentuk kehidupan intelektual ummah. Mengapakah pada hari ini kita masih mempersoalkan keupayaan mereka untuk memimpin?” soalnya.
Selain itu, beliau turut menggesa agar tugas urusan rumah tangga (housework) dan peranan wanita mendidik anak-anak di rumah diberi pengiktirafan wajar dan tidak dipandang rendah.
Jelasnya, pandangan stereotaip terhadap wanita di ruang domestik banyak dipengaruhi oleh kerangka pemikiran luar yang meminggirkan peranan besar wanita dalam membentuk akal dan sahsiah generasi sebelum melangkah ke alam persekolahan.










