ALOR GAJAH: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki, memohon orang ramai mendoakan keselamatan dua pelajar Tingkatan Empat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah yang dilaporkan hilang sejak 11 Ogos lalu.
Dua pelajar berkenaan ialah Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad, kedua-duanya berusia 16 tahun.
Menerusi hantaran di Facebook pagi ini, Asyraf Wajdi berharap kedua-dua pelajar itu dapat ditemukan dalam keadaan selamat dan kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.
Beliau turut menyeru orang ramai mengambil kesempatan pada Jumaat yang penuh keberkatan untuk mendoakan agar usaha mencari kedua-dua remaja terbabit dipermudahkan.
Sementara itu, Ketua Polis Alor Gajah, Ahmad Abu Bakar, berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang guru berhubung kehilangan kedua-dua pelajar berkenaan pada jam 10.46 malam, 11 Ogos lalu.
Menurutnya, Siti Nur Aaira yang beralamat di Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Selangor, mempunyai ketinggian 157 sentimeter (cm), berat 50 kilogram (kg) dan berkulit cerah.
Nur Aisy Humaira pula berasal dari Bukit Sentosa, Rawang, Selangor, dengan ketinggian dan berat badan yang sama, namun mempunyai kulit berwarna gelap.
“Polis sedang menjalankan usaha mengesan kedua-dua remaja terbabit dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, menurut laporan Berita Harian.
Sebelum ini, poster hebahan mengenai kehilangan kedua-dua pelajar berkenaan tular di media sosial bagi mendapatkan bantuan orang ramai untuk mengesan mereka.
Berdasarkan hebahan itu, Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur, dilaporkan sebagai lokasi terakhir kedua-dua pelajar berkenaan dilihat.
Polis meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan Siti Nur Aaira atau Nur Aisy Humaira supaya segera menghubungi Pegawai Penyiasat, Shahrul Izwan Mohd Suffian di talian 017-818 0106.
Maklumat juga boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu usaha mengesan kedua-dua pelajar berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi, sebaliknya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan dan usaha pencarian.










