KUALA LUMPUR: Kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) tidak seharusnya diketepikan hanya kerana wujud dakwaan rasuah atau salah guna kuasa yang melibatkan individu tertentu.
Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata tindakan seseorang tidak boleh dijadikan ukuran untuk menghukum keseluruhan parti yang diwakilinya.
Timbalan Pengerusi PN itu berkata, perbuatan rasuah adalah tanggungjawab individu dan tidak wajar dilabel sebagai amalan sesebuah parti.
Beliau berkata, persepsi yang mengaitkan sesebuah parti dengan rasuah hanya berdasarkan kesalahan individu boleh memberi gambaran tidak adil terhadap organisasi politik berkenaan.
“Yang melakukan rasuah ialah individu, bukannya parti. Parti yang bergabung pula adalah entiti berbeza dan tidak sepatutnya disamakan dengan individu yang melakukan kesalahan,” katanya sepertimana memetik temu bualnya bersama FMT.
Kenyataan itu dibuat ketika beliau ditanya mengenai usaha memperkukuh penyatuan Melayu melalui kerjasama BN-PN yang turut berdepan persoalan berkaitan isu rasuah dan integriti.
Kerjasama kedua-dua gabungan itu sebelum ini mendapat perhatian menerusi PRN Negeri Sembilan pada awal bulan ini apabila gabungan berkenaan memenangi 25 daripada 36 kerusi DUN, majoritinya di kawasan dengan pengundi Melayu, sekali gus membolehkan pembentukan kerajaan.
Namun, kerjasama yang membawa gagasan penyatuan Melayu-Islam itu turut berdepan cabaran persepsi berikutan pelbagai dakwaan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa yang pernah dikaitkan dengan pentadbiran BN ketika menerajui kerajaan Persekutuan sebelum 2018.
Antara isu yang masih menjadi perhatian ialah kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selain laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) yang baru-baru ini dinyahklasifikasi.
Laporan berkenaan didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu, sekitar empat tahun selepas siasatan dijalankan.
Antara penemuan yang diketengahkan ialah kelemahan ketara dalam tadbir urus, pengurusan kewangan dan pelaburan TH, selain cadangan untuk melakukan perubahan besar terhadap organisasi terbabit.
Mengulas hala tuju politik menjelang pilihan raya akan datang, Hamzah berkata usaha menyatukan rakyat perlu diberi keutamaan, tanpa mengetepikan realiti masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Menurutnya, pendekatan politik yang hanya melihat kepada satu kelompok tidak memadai untuk membentuk agenda nasional yang kukuh.
Beliau berkata, kesepaduan dalam kalangan majoriti perlu diperkukuh terlebih dahulu sebelum usaha tersebut diperluaskan kepada kelompok masyarakat lain bagi membentuk matlamat bersama.
“Jika kelompok majoriti sendiri tidak bersatu, kita akan berdepan kesukaran untuk mencapai cita-cita menjadikan negara lebih maju.
“Apabila rakyat berkongsi pemikiran, hala tuju dan matlamat yang sama, penyatuan itu boleh diterjemahkan kepada agenda yang lebih baik untuk rakyat, negara dan masa depan,” katanya.
Dalam masa sama, Hamzah berkata Wawasan bersedia memainkan peranan sebagai penghubung bagi merapatkan hubungan antara pelbagai parti politik.
Katanya, peranan itu boleh menjadi antara sumbangan utama Wawasan dalam usaha mewujudkan kerjasama politik yang lebih luas dan berorientasikan kepentingan rakyat.
“Wawasan mahu menjadi salah satu tonggak dan memainkan peranan penting dalam agenda ini,” katanya.










