MCA Bidas DAP ‘Batu Api’ Dalam Isu Judi, Tegaskan Dasar Kerajaan Perlu Diputus Kabinet

KUALA LUMPUR: MCA menyelar tindakan seorang pemimpin DAP yang didakwa cuba mengheret parti itu untuk memberi pendirian berhubung kenyataan pemimpin PAS mengenai isu lesen perjudian.

Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon, menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, sebagai usaha untuk mencetuskan pertelingkahan antara parti komponen kerajaan dengan PAS.

Menurutnya, Zhemin tidak sepatutnya meminta MCA menjawab kenyataan pemimpin PAS, terutama selepas DAP sendiri pernah menjalinkan kerjasama dengan parti berkenaan pada beberapa ketika.

“Saya ingin meminta beliau melihat cermin sebelum bertanya kepada MCA berkaitan kenyataan daripada PAS kerana DAP pernah berpakat dengan PAS sebanyak tiga kali.

“Tidak perlulah beliau sentiasa cuba menjadi batu api terhadap segala kenyataan daripada PAS,” katanya memetik FMT.

Kenyataan itu susulan gesaan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Mohd Nor Hamzah, agar pengundi Islam memberikan sokongan kepada PAS untuk mengambil alih Putrajaya bagi membolehkan lesen premis perjudian ditamatkan di peringkat Persekutuan.

Gesaan berkenaan dibuat selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan berkaitan arahan menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen premis perjudian di negeri itu.

Keputusan mahkamah tersebut sekali gus mengekalkan pendirian bahawa kuasa serta perundangan berkaitan kelulusan lesen perjudian berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, bukannya kerajaan negeri.

Mengulas kemungkinan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Sin Woon menegaskan bahawa sebarang dasar kerajaan Persekutuan tidak boleh ditentukan berdasarkan pandangan individu atau satu-satu parti sahaja.

Beliau berkata semua dasar kerajaan perlu melalui proses membuat keputusan di peringkat Jemaah Menteri.

“Ingin saya tegaskan, segala dasar kerajaan Persekutuan perlu mendapat kelulusan Jemaah Menteri dan bukan pandangan mana-mana pihak.

“Jadi, Kampar (Zhemin) tidak perlu berlakon secara naif dengan cuba mengheret MCA dan MIC dalam isu sebegini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong, berkata kenyataan pemimpin PAS berkaitan sesuatu isu perlu dinilai berdasarkan konteks dan tidak seharusnya terus dianggap sebagai pendirian rasmi kerajaan.

Katanya, pandangan yang disampaikan atas dasar pegangan agama seseorang pemimpin tidak secara automatik menjadikannya sebagai dasar negara.

“Jika ia merupakan pandangan berdasarkan pegangan agama seorang Muslim, ia tidak bermakna pandangan tersebut secara automatik menjadi dasar negara,” katanya.

Beliau menjelaskan sebarang perubahan dasar di peringkat nasional perlu melalui perbincangan bersama parti-parti yang membentuk kerajaan serta mengambil kira Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sedia ada, kepentingan masyarakat pelbagai kaum dan pandangan rakyat.

“Sebarang perubahan dasar negara adalah perkara yang perlu dibincangkan secara bersama oleh parti-parti yang membentuk kerajaan, mengambil kira Perlembagaan, undang-undang sedia ada, kepentingan semua kaum serta pandangan rakyat.

“Ia bukan hak mutlak mana-mana satu parti,” katanya.

Mike turut mempersoalkan mengapa Zhemin hanya mengarahkan persoalan berhubung kenyataan PAS kepada MCA dan MIC.

Katanya, DAP tidak seharusnya berulang kali mengaitkan MCA dan MIC setiap kali terdapat kenyataan daripada pemimpin PAS, seolah-olah pandangan individu berkenaan sudah menjadi dasar rasmi kerajaan atau gabungan politik.

“Janganlah setiap kali ada pandangan daripada pemimpin PAS, DAP terus cuba mengheret MCA dan MIC untuk menjawab seolah-olah pandangan seorang pemimpin PAS itu sudah menjadi dasar kerajaan atau dasar gabungan yang belum pun diputuskan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles