KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang kuasa atau suara dalam keputusan pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) ketika memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Penegasan itu dibuat susulan penyebaran semula sekeping gambar pada 2017 yang memaparkan Asyraf bersama Pengerusi TH ketika itu, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim serta beberapa pihak lain pada majlis menandatangani perjanjian berkaitan Al-Rawda Real Estate Development and Project Management Co Ltd.
Gambar berkenaan tular di Facebook baru-baru ini, ketika isu kerugian pelaburan TH kembali menjadi perhatian susulan pembentangan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan kewangan agensi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Pada Selasa, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, RCI mendapati tujuh daripada 14 pelaburan TH dalam tempoh berkenaan mencatatkan kerugian keseluruhan.
Menurutnya, kerugian terbesar berpunca daripada pelaburan TH dalam Al-Rawda, sebuah syarikat pembangunan hartanah dan pengurusan projek yang berpangkalan di Arab Saudi.
“Bersungguh-sungguh nampaknya nak burukkan dan bunuh imej saya dengan cuba kaitkan saya dengan apa juga isu Tabung Haji,” kata Asyraf dalam satu komen di media sosial, seperti dilaporkan Malaysiakini.
Beliau menjelaskan, kehadirannya dalam majlis berkenaan adalah atas kapasiti sebagai Ketua Rombongan Haji Malaysia pada 2017, selepas diminta menggantikan menteri yang sepatutnya menghadiri majlis tersebut.
“Kebetulan saya ada di Makkah, maka dijemput mewakili menteri menghadiri majlis tersebut,” katanya.
Asyraf turut menegaskan Timbalan Menteri tidak mempunyai bidang kuasa untuk campur tangan dalam operasi atau proses kelulusan pelaburan TH.
Katanya, operasi TH dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pihak pengurusan, manakala urusan itu dipantau oleh pengerusi serta lembaga pengarah.
Beliau berkata, perkara dasar utama pula akhirnya diputuskan oleh menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama.
“Ini menjelaskan mengapa RCI mahupun agensi penguatkuasaan tidak pernah memanggil saya untuk disoal siasat,” katanya.
Dalam sidang khas Dewan Rakyat pada Selasa bagi membincangkan laporan RCI mengenai TH, Amir berkata pelaburan Al-Rawda melibatkan perjanjian pajakan yang dibuat antara 2015 hingga 2017.
Menurutnya, TH membayar 1.4 bilion riyal Arab Saudi, bersamaan kira-kira RM1.5 bilion, kepada orang tengah bagi tujuan memajak empat hotel di Makkah dan Madinah untuk menempatkan jemaah haji Malaysia.
Syarikat berkenaan sepatutnya menguruskan keempat-empat hotel itu dan membayar semula sewa berjumlah 2.49 bilion riyal kepada TH.
Bagaimanapun, bayaran tersebut tidak dibuat, manakala pelaburan berjumlah besar itu hanya dijamin secara peribadi melalui nota janji hutang.
Al-Rawda kemudiannya gagal melunaskan bayaran sewa bermula suku pertama 2019.
Kegagalan berkenaan akhirnya menyebabkan TH mengiktiraf kerugian rosot nilai penuh berjumlah kira-kira RM1 bilion pada 2024.










