KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail mendakwa Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ampang telah disekat daripada mengakses Sistem MyKhas sejak 29 Julai lalu.
Rodziah berkata, tindakan sekatan tanpa sebarang penjelasan rasmi itu secara tidak langsung menjejaskan penyaluran peruntukan kawasan serta pelaksanaan Projek Mesra Rakyat (PMR) yang disasarkan untuk golongan memerlukan di kawasan berkenaan.
Jelas Rodziah, tindakan berkenaan menjejaskan pelbagai bentuk bantuan segera yang telah dimohon sejak Juni lalu merangkumi bantuan kewangan, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal, pelajar, pesakit kronik, badan bukan kerajaan (NGO), sekolah serta institusi keagamaan.
”Sehingga hari ini, saya tidak menerima sebarang penjelasan rasmi berhubung penarikan atau sekatan peruntukan ini.
“Suratan rasmi telah pun dihantar kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk memohon penjelasan lanjut.
”Jika ada isu teknikal atau apa-apa sebab lain, saya minta pencerahan agar dapat memberikan penjelasan yang tepat kepada rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan video pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen PKR itu turut mempersoalkan perbezaan layan atau ‘double standard’ berhubung penyaluran peruntukan berkenaan.
”Langkah ini agak mendukacitakan kerana enam Ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan menerima peruntukan, sedangkan kami (penyokong kerajaan) pula dinafikan.
”Malah ada ahli kabinet yang bebas mengkritik kerajaan tanpa dikenakan sebarang sekatan,” jelas beliau.
Bagaimanapun, Rodziah menegaskan sekatan berkenaan tidak akan melunturkan semangat beliau untuk terus berkhidmat dan mempertahankan prinsip reformasi serta akuntabiliti.
Sebagai langkah susulan bagi memastikan bantuan terus sampai kepada penduduk Ampang, beliau bakal melancarkan inisiatif ‘Projek Amal Rakyat’ pada Jumaat ini menerusi kerjasama ganding bahu bersama pihak korporat, NGO, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta individu persendirian.










