KUALA LUMPUR: Dunia seni tanah air diselubungi duka apabila pelakon veteran, Kamarozaman Yusoff atau lebih dikenali sebagai Cik Man, meninggal dunia akibat komplikasi jantung tersumbat di Hospital Tanah Merah, Kelantan, pada jam 5.15 petang, hari ini.
Allahyarham berusia 68 tahun.
Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh anak bongsunya, Fakhrol Aliff, yang memaklumkan bapanya menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di hospital.
Menurut Fakhrol, dia sempat pulang ke rumah untuk membersihkan diri sebelum menerima panggilan daripada kakak sulungnya yang memintanya segera kembali ke hospital selepas dimaklumkan bapanya sudah meninggal dunia.
“Saya pulang ke rumah sekejap untuk bersihkan diri. Kira-kira jam 5.15 petang, kakak telefon suruh datang segera ke hospital kerana abah sudah tiada,” katanya ketika dihubungi.
Fakhrol berkata, bapanya sebelum itu mengadu mengalami sakit perut sejak beberapa hari lalu, namun keadaan menjadi semakin serius apabila kesakitan merebak hingga ke bahagian belakang.
Katanya, Allahyarham pada awalnya enggan mendapatkan rawatan, namun akhirnya bersetuju dibawa ke hospital selepas tidak lagi mampu menahan kesakitan.
“Abah tidak pernah mengalami penyakit serius sebelum ini. Cuma dua tahun lalu, arwah pernah diserang sakit jantung, tetapi selepas itu keadaannya kembali stabil.
“Sejak kebelakangan ini, arwah sering mengadu sakit perut seperti gastrik. Semalam keadaannya bertambah teruk apabila sakit itu menjalar hingga ke belakang. Kami pujuk untuk ke hospital dan akhirnya arwah bersetuju,” katanya.
Allahyarham kemudian dimasukkan ke hospital sebelum ditidurkan bagi menerima rawatan lanjut. Bagaimanapun, beliau disahkan meninggal dunia petang tadi akibat masalah jantung tersumbat.
Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di kampung halamannya di Tanah Merah, Kelantan, kira-kira jam 11 pagi esok.
Allahyarham mula mencuri perhatian penonton menerusi watak Farouk dalam filem Gila-Gila Remaja pada 1986. Beliau kemudian semakin dikenali dengan gelaran Cik Man selepas membawakan watak ikonik dalam filem Rock Oo arahan Allahyarham Mamat Khalid, sekali gus mengukuhkan namanya sebagai antara pelakon karakter yang disayangi ramai dalam industri perfileman tempatan.










