Peguam Najib Mohon Gugur Sebahagian Keterangan Tony Pua Dalam Saman 1MDB AS$5.6 bilion

KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak memohon Mahkamah Tinggi memadamkan sebahagian besar pernyataan saksi dikemukakan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, dalam perbicaraan saman AS$5.6 bilion yang difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap bekas Perdana Menteri itu dan beberapa pihak lain.

Peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah berhujah, kandungan pernyataan saksi berkenaan tidak sepatutnya diterima sebagai keterangan kerana mengandungi unsur dengar cakap, laporan media serta pandangan politik yang tidak mempunyai nilai probatif di mahkamah.

Menurut beliau, pihak pembelaan tidak membantah keterangan yang menyentuh penglibatan langsung Tony dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) atau prosiding Parlimen, namun membantah kenyataan yang bersumberkan pihak ketiga dan tafsiran peribadinya.

Beliau turut mendakwa Tony membuat ulasan mengenai penyingkiran bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, tanpa mengetahui sebab sebenar pertukaran itu, selain memetik kenyataan individu yang tidak hadir sebagai saksi dan tidak boleh disoal balas.

“Tony sepatutnya bergantung kepada Hansard Parlimen dan laporan PAC, bukannya tafsiran peribadi bagi menyokong keterangannya di mahkamah,” katanya.

Sementara itu, peguam Lee Shih yang mewakili 1MDB memohon masa untuk menyediakan penghujahan bagi menjawab bantahan berkenaan.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus kemudian menetapkan perbicaraan bersambung esok.

Dalam saman itu, 1MDB dan empat anak syarikatnya menuntut ganti rugi terhadap Najib serta beberapa pihak lain atas dakwaan penyelewengan yang didakwa menyebabkan syarikat pelaburan strategik negara itu mengalami kerugian berbilion ringgit.

Plaintif mengemukakan lapan kausa tindakan terhadap Najib, termasuk penipuan, pecah amanah, kecuaian dan salah guna jawatan.

BBerkaitan

Latest articles