KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua bekas pegawai kanan sebuah syarikat milik badan berkanun bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dalam pembelian saham syarikat perladangan bernilai RM370 juta, susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Mereka yang ditahan ialah seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berusia 68 tahun dan bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) berusia 60 tahun, yang disyaki menyalahgunakan kuasa dalam urusan pembelian saham dua syarikat perladangan.
Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 6.30 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
Bagaimanapun, kedua-duanya dibebaskan pada malam yang sama atas faktor kesihatan.
“Mereka akan hadir semula ke Ibu Pejabat SPRM pada jam 10 pagi ini bagi menyambung rakaman percakapan,” kata sumber.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana disyaki menyalahgunakan jawatan atau kedudukan bagi mendapatkan suapan atau kepentingan untuk diri sendiri atau pihak lain.
Penahanan terbaharu itu merupakan sebahagian daripada tindakan susulan SPRM terhadap syor dan penemuan yang terkandung dalam Laporan RCI Tabung Haji, yang sebelum ini membawa kepada beberapa siri siasatan serta tangkapan melibatkan individu berkaitan pengurusan dana berkenaan.










