Surat Wong Chen Kepada Speaker Dewan Rakyat Cetus Tanda Tanya

KUALA LUMPUR: Hantaran media sosial Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berhubung penyerahan satu surat rasmi kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mencetuskan pelbagai spekulasi dan tanda tanya politik tanah air.

Pertemuan yang sepatutnya berlangsung selama 30 minit di Pejabat Speaker Dewan Rakyat itu bertukar menjadi perbincangan panjang selama satu jam setengah.

Wong Chen memaklumkan telah menyerahkan surat rasmi berkenaan dan akan mengeluarkan kenyataan media lanjut pada Isnin ini (10 Ogos).

Meskipun kandungan surat tersebut belum didedahkan secara terperinci, netizen mengaitkan tindakan itu dengan rasa tidak puas hati beliau terhadap jawapan bertulis Parlimen berhubung isu sekatan akses Portal MyKhas.

Sebelum ini, Wong Chen menerusi Soalan No. 58 memohon penjelasan Perdana Menteri berhubung justifikasi tindakan menyekat akses portal berkenaan bagi kawasan Parlimen Subang dan Petaling Jaya, selain langkah penambahbaikan bagi memastikan bantuan kerajaan tidak dipengaruhi pertimbangan politik.

Bagaimanapun, jawapan bertulis yang diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud dilihat tidak menjawab soalan asal yang dibangkitkan.

Jawapan berkenaan sebaliknya hanya menjelaskan fungsi umum Peruntukan Khas Perdana Menteri, komitmen Kerajaan Madani serta peranan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM) secara menyeluruh.

Berdasarkan pemerhatian terhadap lampiran jawapan bertulis parlimen itu, tiada sebarang penjelasan mendalam atau justifikasi spesifik diberikan berhubung punca akses portal berkenaan disekat.

Perkembangan ini sekali gus menimbulkan persoalan sama ada tindakan Wong Chen membuat pertemuan khas bersama Speaker adalah bagi menuntut keadilan saluran Parlimen atas jawapan menteri yang disifatkan ‘terpesong’ atau sebaliknya.

Selain itu, dinamik politik tanah air yang menyaksikan kejutan berikutan peletakan jawatan tokoh utama PKR seperti Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad turut menambah kehangatan spekulasi.

Tindakan lantang Wong Chen dalam mengutarakan isu peruntukan kawasan ini dilihat sesetengah pihak sebagai isyarat wujudnya gelombang ketidakpuasan hati atau isu dalaman yang belum selesai.

Segala teka-teki berhubung kandungan surat dan hala tuju tindakan Ahli Parlimen Subang itu dijangka terjawab sepenuhnya menjelang kenyataan media rasmi beliau Isnin depan.

BBerkaitan

Latest articles