30 CSO Gesa Peguam Negara Jelaskan DNAA Kes Nicky Liow RM36 Juta

KUALA LUMPUR: 30 organisasi masyarakat sivil (CSO) menggesa Peguam Negara Tan Sri Dusuki Mokhtar supaya memberikan penjelasan terbuka mengenai keputusan pihak pendakwaan memberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) kepada ahli perniagaan, Nicky Liow Soon Hee.

Kumpulan tersebut memaklumkan, penjelasan itu penting berikutan Liow berdepan 26 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) yang melibatkan nilai lebih RM36 juta.

Menurut kenyataan itu, peguam Liow mengesahkan anak guamnya diberikan DNAA pada 15 Jun 2023 selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi yang dikemukakan.

“Namun, selepas lebih tiga tahun, tiada sebarang alasan dikemukakan kepada umum mengenai pertimbangan keputusan tersebut atau status pendakwaan semula.

“Ketelusan dan bukannya keputusan kes menjadi isu utama di sini. Orang ramai berhak mengetahui mengapa pendakwaan pengubahan wang haram berjumlah RM36 juta tidak diteruskan dan hanya tahu selepas tiga tahun apabila ada sidang media pihak beliau,” menurut kenyataan itu hari ini.

CSO berkenaan turut menyuarakan kebimbangan terhadap corak pemberian DNAA dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram berprofil tinggi di bawah Kerajaan Madani, antaranya melibatkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Corak di mana kes-kes berprofil tinggi melibatkan rasuah dan pengubahan wang haram dihentikan secara senyap, sebelum akhirnya membawa kepada pembebasan penuh tanpa sebarang penjelasan kepada umum atau diuji melalui proses perbicaraan, tidak boleh dianggap sebagai satu bentuk akauntabiliti,” tegas kumpulan itu.

Menyentuh isu pemisahan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya di bawah Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026, mereka menegaskan bahawa pemisahan struktur semata-mata tidak memadai jika tidak disertakan dengan garis panduan statutori.

“Melainkan pemisahan ini turut disertakan mekanisme yang mengikat untuk mewujudkan ketelusan dan akauntabiliti seorang Pendakwa Raya yang bebas tetap akan mempunyai keupayaan untuk menyelesaikan kes-kes seperti Liow, Zahid atau Najib tanpa sebarang penjelasan kepada umum,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, kumpulan berkenaan menggesa AGC mendedahkan asas dan garis masa keputusan kes Nicky Liow, selain mendesak Parlimen memasukkan kewajipan laporan tahunan serta garis panduan pelaksanaan budi bicara dalam Akta Pemberi Kuasa (Enabling Act) yang perlu dikuatkuasakan secara serentak.

“Pemisahan tanpa mekanisme perlindungan ini berisiko menjadi perubahan pada nama sahaja, dan bukan perubahan pada intinya,” tambah kenyataan itu.

Kenyataan media bersama berkenaan disokong oleh 30 pertubuhan, antaranya Projek SAMA, Institut Demokrasi dan Urusan Ekonomi (IDEAS), Rasuah Busters, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Center to Combat Corruption & Cronyism (C4 Center), Pertubuhan IKRAM Malaysia, serta Transparency International Malaysia.

BBerkaitan

Latest articles