SEREMBAN: Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berdasarkan keputusan tidak rasmi yang diperoleh setakat malam ini.
Jalaluddin, yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri, menewaskan dua pencabarnya dalam saingan tiga penjuru, iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Umry Abdul Khois, dan calon BERSATU, Mohd Faizal Fadli Mohd Idrus.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Jalaluddin memperoleh 6,312 undi untuk mempertahankan DUN Pertang dengan majoriti 3,719 undi.
Menurut beliau, Mohd Umry meraih 2,593 undi, manakala Mohd Faizal Fadli memperoleh 367 undi.
Kemenangan itu menyaksikan Jalaluddin bukan sahaja berjaya mengekalkan penguasaannya di Pertang, malah meningkatkan majoriti berbanding PRN 2023 apabila beliau menang dengan majoriti 2,790 undi.
Jalaluddin sebelum ini dinamakan antara calon utama Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya BN berjaya mengambil alih pentadbiran negeri pada PRN kali ini, sekali gus menjadikan kemenangan beliau di Pertang antara keputusan yang mendapat perhatian sepanjang malam pengiraan undi.
Sementara itu, BN turut mengumumkan kemenangan di DUN Juasseh apabila calonnya, Datuk Ismail Lasim, dilaporkan menewaskan pencabar dengan majoriti 4,034 undi berdasarkan kiraan tidak rasmi di semua 33 saluran mengundi.
Bagaimanapun, semua keputusan tersebut masih tertakluk kepada pengesahan rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).










