DUNGUN: Seorang pelajar sebuah universiti swasta maut selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer 354 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, Muhammad Bakhtiar Mazlan, 22, dari Parit Raja, Batu Pahat, Johor, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Nik Ab Halim Nik Mat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kemalangan yang membabitkan sebuah motosikal Honda Vario.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa sedang dalam perjalanan dari Gong Badak, Kuala Nerus menuju ke Kuala Lumpur selepas menghadiri Program RXZ Members 8.0.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya.- BERNAMA










