KUALA LUMPUR: Undang Yang Empat bersama Tunku Besar Tampin dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong menggesa Kerajaan Negeri Sembilan supaya tidak melaksanakan sebarang keputusan yang diputuskan dalam Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU), yang didakwa bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, mereka mendakwa semua keputusan yang dibuat pada mesyuarat khas semalam adalah tidak sah serta terbatal kerana didakwa melanggar Perkara 20 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Menurut mereka, mesyuarat berkenaan juga tidak memenuhi syarat kuorum yang ditetapkan apabila hanya tiga ahli hadir selain pengerusi, sedangkan sekurang-kurangnya empat ahli lain perlu hadir bagi membolehkan sebarang keputusan dibuat secara sah.
Sehubungan itu, mereka memaklumkan akan menggunakan saluran perundangan bagi mencabar Perutusan Rasmi yang dikeluarkan susulan mesyuarat tersebut.
“Kami merezabkan hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Perutusan Rasmi berkenaan serta menggesa Kerajaan Negeri Sembilan agar tidak menguatkuasakan sebarang keputusan yang tidak selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Perutusan Rasmi DKU memaklumkan mesyuarat khas berkenaan memutuskan bahawa dokumen bertarikh 19 April lalu disifatkan tidak berperlembagaan kerana didakwa melanggar Perkara X Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Mesyuarat sama turut menerima makluman daripada Ibu Soko-Ibu Soko dan Anak-Anak Waris Ayer Luak Sungei Ujong bahawa penyandang pusaka Datuk Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid, telah dilucutkan mengikut adat Luak Sungei Ujong berkuat kuasa pada Khamis lalu.
Persidangan itu dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Dalam kenyataan sama, Undang Yang Empat turut memaklumkan hanya Tuanku Muhriz, Tunku Besar Seri Menanti, Undang Luak Sungai Ujong dan Undang Luak Rembau direkodkan hadir pada mesyuarat tersebut.
Mereka mendakwa empat lagi anggota DKU, iaitu Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol, Tunku Besar Tampin dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong tidak menghadiri mesyuarat itu.
Menurut mereka, Perkara 20 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 memperuntukkan bahawa sebarang urusan Dewan tidak boleh diteruskan, kecuali bagi menangguhkan mesyuarat, sekiranya jumlah ahli yang hadir selain pengerusi tidak mencapai sekurang-kurangnya separuh daripada keseluruhan keanggotaan.










