BUKIT KAYU HITAM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memulakan proses mengenal pasti dan menapis pelarian Rohingya di negara ini sebagai langkah awal bagi memenuhi komitmen penghantaran pulang 5,000 rakyat Myanmar ke negara asal mereka.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, inisiatif itu susulan komitmen yang dinyatakan oleh Kerajaan Myanmar untuk menerima semula rakyatnya yang berada di luar negara, termasuk pelarian, hasil perbincangan yang digerakkan Malaysia ketika mempengerusikan ASEAN pada 2025.
Beliau berkata, isu pelarian Myanmar dibangkitkan secara konsisten dalam forum ASEAN tanpa mencampuri urusan politik dalaman negara berkenaan, sebaliknya atas kapasiti Myanmar sebagai sebuah negara anggota ASEAN.
“Kerajaan Myanmar telah menyatakan persetujuan untuk mengambil balik rakyatnya yang berada di luar Myanmar dan berstatus pelarian.
Di Malaysia, komitmen awal mereka adalah untuk menerima kembali 5,000 orang,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program jelajah aspirasi bebas dadah di FELDA Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam, pada Khamis.
Menurut beliau, KDN diberi tanggungjawab sebagai agensi peneraju, selaras dengan Arahan No. 23 Majlis Keselamatan Negara (MKN), bagi melaksanakan proses dokumentasi menerusi Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).
Katanya, proses itu melibatkan usaha mengesan, mengenal pasti dan menjalankan tapisan terhadap individu terbabit, termasuk semakan keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia sebelum status pelarian mereka disahkan.
“Pada akhir proses ini, individu yang layak akan diberikan dokumen yang mengesahkan status mereka, dan daripada proses itu kita akan memenuhi kuota 5,000 orang sebelum perbincangan lanjut diadakan melalui Wisma Putra dengan pihak Myanmar,” katanya.
Beliau berkata, proses berkenaan bukan lagi di peringkat perancangan, sebaliknya telah mula dilaksanakan.
Sebagai langkah awal, KDN memberi tumpuan kepada 19 depot imigresen di seluruh negara yang kini menempatkan kira-kira 22,000 penghuni.
“Daripada jumlah itu, kita telah mengenal pasti kira-kira 4,000 warga Myanmar (Rohingya). Mereka akan melalui proses tapisan dan ditempatkan di sebuah depot khas bagi memudahkan urusan dokumentasi serta semakan keselamatan,” katanya.
Beliau menambah, selepas proses dokumentasi selesai di peringkat KDN, tindakan susulan berkaitan penghantaran pulang akan dikendalikan oleh Kementerian Luar Negeri melalui saluran diplomatik dengan Kerajaan Myanmar.
Katanya, KDN kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelaksanaan proses dokumentasi dan pengesahan identiti menerusi DPP sebelum sebarang proses penghantaran pulang dilaksanakan.










