YTL Foundation Sasar Lahirkan 250 Pemimpin Berteraskan Nilai Dalam Tempoh Sedekad

KUALA LUMPUR: YTL Foundation menyasarkan untuk melahirkan sekurang-kurangnya 250 pemimpin daripada pelbagai sektor dalam tempoh 10 tahun menerusi program InFlow Fellowship, sekali gus membentuk barisan pemimpin yang berpaksikan nilai serta komited terhadap agenda pembinaan negara.

Pengarah Program YTL Foundation, Datuk Kathleen Chew berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan pengambilan kira-kira 25 felo setiap tahun yang diyakini mampu menggalas tanggungjawab lebih besar dalam sektor masing-masing pada masa hadapan.

Menurut beliau, dalam tempoh lima hingga 10 tahun, peserta program dijangka berada pada kedudukan kepimpinan yang lebih tinggi seperti ketua pegawai eksekutif syarikat atau pengarah kanan kementerian.

“Harapan kami ialah mereka terus kekal setia kepada matlamat membina negara, mewujudkan kemakmuran dan memperkukuh kepercayaan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran program InFlow Fellowship, hari ini.

Mengulas mengenai kelangsungan program itu, Kathleen berkata, InFlow Fellowship bukan inisiatif jangka pendek, sebaliknya dirancang sebagai usaha berterusan yang impaknya hanya dapat dinilai dalam tempoh lima, 10 malah sehingga 20 tahun akan datang.

Katanya, lembaga pemegang amanah YTL Foundation turut memberikan komitmen penuh bagi memastikan program berkenaan diteruskan dalam jangka masa panjang.

“Pembinaan pemimpin memerlukan masa. Sebab itu kami melihat program ini sebagai pelaburan jangka panjang untuk masa depan negara,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles