KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) memanfaatkan sepenuhnya kepulangan Formula Satu (F1) ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan menjadikannya pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan industri pelancongan negara, bukan sekadar acara perlumbaan selama tiga hari.
Menurut Khairy, keputusan memindahkan Grand Prix F1 Bahrain 2026 ke Sepang susulan ketegangan di Asia Barat merupakan peluang luar biasa yang tidak wajar disia-siakan.
Beliau berkata, kerajaan perlu melihat penganjuran perlumbaan itu sebagai platform untuk merancakkan pelbagai aktiviti sampingan yang mampu menarik lebih ramai pelancong asing serta menggalakkan mereka berada lebih lama di Malaysia.
“Jangan sia-siakan peluang ini. Ia peluang yang mungkin datang hanya sekali dalam satu generasi.
“Ia bukan sekadar mengenai perlumbaan F1, tetapi bagaimana kita mengisi minggu sebelum dan selepas perlumbaan dengan pelbagai acara yang memberi nilai tambah kepada ekonomi negara,” katanya menerusi episod terbaharu audio siar Keluar Sekejap.
Khairy mencadangkan Motac bekerjasama rapat dengan pengusaha hotel, syarikat penerbangan, penganjur acara, pengendali pelancongan serta komuniti perniagaan bagi merancang program seperti konsert berskala antarabangsa, persidangan, acara korporat dan festival yang mampu menarik kehadiran pelawat dari luar negara.
Menurutnya, pendekatan sedemikian bukan sahaja meningkatkan tempoh penginapan pelancong, malah mampu merangsang perbelanjaan dalam sektor perhotelan, makanan dan minuman, pengangkutan, peruncitan serta pelancongan.
Grand Prix F1 Gulf Air Bahrain dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang dari 2 hingga 4 Oktober selepas perlumbaan itu dipindahkan dari Bahrain berikutan situasi keselamatan yang tidak menentu di Asia Barat.
Dalam podcast sama, hos bersama Shahril Hamdan berkata Malaysia boleh mencontohi kejayaan Singapura yang mengembangkan perlumbaan F1 sebagai acara pelancongan dan perniagaan bertaraf dunia melalui penganjuran konsert, persidangan antarabangsa dan program rangkaian korporat secara serentak.
Beliau turut merujuk kepada Sidang Kemuncak Asia Institut Milken yang diadakan sempena Grand Prix Singapura sebagai contoh acara berprofil tinggi yang berjaya menarik kehadiran pemimpin industri, pelabur dan pembuat dasar dari seluruh dunia.
Khairy berkata, berdasarkan rekod sejak 2008, Grand Prix Singapura telah menjana lebih SGD2.2 bilion pendapatan tambahan daripada sektor pelancongan serta menarik lebih 720,000 pelawat antarabangsa.
Beliau berpandangan Malaysia mempunyai kelebihan tersendiri kerana Litar Antarabangsa Sepang sudah lama diiktiraf sebagai antara litar terbaik dunia dan sentiasa mendapat pujian daripada pemandu serta peminat sukan permotoran.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan perlu memastikan kepulangan F1 ke Sepang diterjemahkan kepada limpahan ekonomi yang lebih meluas, sekali gus memberi manfaat kepada hotel, restoran, syarikat penerbangan, peruncit, pengusaha pelancongan dan pelbagai sektor perniagaan lain di negara ini.










