Selain Dr Sathia, Ada Ramai Lagi Dalam Senarai Terima LOD – Sanusi

​KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memulakan tindakan undang-undang dengan menyerahkan Surat Tuntutan (LOD) kepada Penyelaras Parlimen Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.

​LOD yang dihantar menerusi firma peguam Faizi & Associates itu mengarahkan Dr Sathia memadamkan rakaman video dalam tempoh tujuh hari, membuat permohonan maaf secara terbuka serta mencadangkan jumlah ganti rugi yang munasabah.

​Menerusi kenyataan berkaitan isu berkenaan, Muhammad Sanusi menegaskan bahawa tindakan itu bukan berfokus kepada seorang individu sahaja, sebaliknya terdapat beberapa pihak lain yang turut berada dalam senarai tindakan perundangan beliau.

​”Penyerahan LOD ini sedang diuruskan oleh pasukan peguam. Ada ramai lagi dalam senarai untuk menerima LOD seumpama ini dengan tuntutan yang sesuai dengan ‘tujuan dan kemahuan’ mereka sendiri melalui tindakan mereka memutar belit, menokok tambah, mengada-adakan yang tiada, memberi komen berasaskan sumber yang telah diputarbelit tanpa periksa, memesong dan memanipulasi ucapan saya di luar maksud sebenar. Semoga memberi pengajaran kepada semua,” tegas beliau.

​Isu perundangan itu tercetus berikutan satu video kenyataan media yang dimuat naik di akaun TikTok milik Dr Sathia pada 24 Julai lepas berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

​Berdasarkan surat tuntutan tersebut, pihak peguam Muhammad Sanusi menjelaskan bahawa dakwaan kononnya Menteri Besar Kedah itu meminta masyarakat India dan Cina ‘balik ke negara asal’ adalah tidak benar dan dipetik secara tidak tepat.

​Pihak peguamnya menegaskan ucapan asal Muhammad Sanusi sekadar menjelaskan kedudukan demografi dan sejarah tanah air, iaitu masyarakat Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu sebagai tanah air mereka, manakala kaum-kaum lain mempunyai negara asal masing-masing.

​Menerusi surat tuntutan berkenaan, Dr Sathia diberi tempoh tujuh hari dari tarikh penerimaan surat untuk mengeluar akuanjanji bertulis memadamkan video tersebut, membuat permohonan maaf terbuka di TikTok dan media tempatan, serta mencadangkan ganti rugi munasabah.

​Sekiranya gagal mematuhi tuntutan tersebut dalam tempoh yang ditetapkan, pihak peguam berarahan untuk memulakan tindakan mahkamah dan memohon perintah injunksi serta ganti rugi perundangan berhubung perkara itu.

BBerkaitan

Latest articles