PORT DICKSON: Pemuda UMNO dan Pemuda PAS menegaskan kerjasama yang terjalin antara kedua-dua sayap parti bukan sekadar untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan Melaka, malah disasarkan berterusan sehingga ke peringkat Persekutuan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh, berkata perjuangan mempertahankan kepentingan orang Melayu tidak pernah bermaksud menafikan atau merampas hak kaum lain, sebaliknya sentiasa menghormati dan memelihara hak semua rakyat.
Menurut beliau, kerjasama antara Pemuda UMNO dan PAS menerima sambutan amat menggalakkan daripada golongan muda, termasuk menerusi konvoi motosikal yang menjelajah laluan dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota ke DUN Linggi.
“Kita memperjuangkan kepentingan orang Melayu tanpa sesekali mengambil hak kaum lain. Malah, hak mereka terus dipelihara.
“Kami berharap suara orang Melayu yang sekian lama terpendam, khususnya di Negeri Sembilan, akan diterjemahkan menerusi undi pada hari pengundian nanti,” katanya selepas menghadiri Program Pentas Anak Muda di Dataran Tanjung Agas, malam tadi.
Beliau berkata, arahan turut dikeluarkan supaya jentera Pemuda UMNO dan Pemuda PAS di semua peringkat bahagian serta cawangan bergerak secara bersepadu bagi memastikan kempen pilihan raya berjalan lebih tersusun dan berkesan.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata usaha menyatukan dua parti terbesar orang Melayu itu bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya menjadi cita-cita yang telah lama diperjuangkan.
Katanya, hubungan baik antara kepimpinan Pemuda PAS dan UMNO yang bebas daripada sebarang konflik peribadi membolehkan kedua-dua pihak tampil sepentas, sekali gus memperkenalkan pendekatan politik yang lebih matang kepada golongan muda.
Beliau berkata, asas kerjasama itu dibina atas semangat persefahaman dan penyatuan dengan mengetepikan kepentingan lain demi matlamat bersama.
Menurutnya, akar umbi kini semakin memahami keperluan untuk mengelakkan perpecahan yang boleh memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) dan DAP, sambil mengingatkan bahawa formula sama pernah dibuktikan berjaya dalam PRN Johor.
Dalam perkembangan sama, kedua-dua pemimpin memaklumkan kemuncak kempen bersama Pemuda UMNO dan PAS akan berlangsung di Ampangan pada Jumaat ini dengan Pemuda PAS bertindak sebagai tuan rumah.
Terdahulu, kira-kira 500 penunggang motosikal daripada gabungan Pemuda UMNO dan Pemuda PAS menyertai program ‘Pentas Anak Muda: The Real Linggi’, yang turut diisi dengan pelbagai aktiviti santai serta sesi ramah mesra bersama kepimpinan parti bagi mendekati pengundi muda.
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada siri jelajah bersama kedua-dua sayap parti di beberapa kawasan DUN bagi memperkukuh sokongan terhadap calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menjelang PRN Negeri Sembilan.










