Ayob Khan Tolak Politik Selepas Bersara: ‘Saya Mahu Jadi Negarawan, Bukan Ahli Politik’

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan beliau tidak berhasrat menyertai dunia politik selepas menamatkan perkhidmatannya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula esok.

Sebaliknya, beliau berkata jika diberi pilihan, beliau lebih cenderung memainkan peranan sebagai seorang negarawan yang memikirkan masa depan negara dalam jangka panjang berbanding menjadi ahli politik.

“Saya bukan ahli politik. Politik biarlah diuruskan oleh orang politik. Saya juga bukan seorang orator. Kalau hendak suruh saya jadi negarawan, saya mahu jadi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol), semalam.

Mengulas lanjut, Ayob Khan menjelaskan perbezaan antara ahli politik dan negarawan ialah seorang ahli politik lazimnya memikirkan tempoh lima tahun akan datang untuk terus kekal berkuasa, manakala negarawan memberi tumpuan kepada pembangunan negara bagi tempoh 20 tahun akan datang.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan pernah berdepan campur tangan politik ketika menjalankan tugas sepanjang lebih tiga dekad berkhidmat dalam pasukan polis.

Sebagai contoh, beliau mengimbas tindakan menahan 15 individu termasuk dua pemimpin daripada parti kerajaan ketika itu yang disyaki terbabit dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) pada November 2019.

“Saya tetap tangkap mereka. Itu membuktikan tiada campur tangan politik. Bagi saya, sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan tanpa mengira sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang,” katanya.

Beliau turut menegaskan PDRM perlu diberi kebebasan sepenuhnya untuk melaksanakan tugas penguatkuasaan sekiranya Malaysia mahu memiliki pasukan polis bertaraf dunia.

Menurutnya, mana-mana pihak tidak sepatutnya mencampuri urusan penguatkuasaan undang-undang kerana tindakan perlu diambil terhadap sesiapa sahaja yang didapati melanggar undang-undang.

Pada masa sama, Ayob Khan sekali lagi mempertahankan pendiriannya berhubung pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Katanya, walaupun akta itu telah dimansuhkan, beliau secara peribadi masih berpendapat tiada asas kukuh untuk pemansuhan tersebut.

“Saya memang tidak bersetuju ISA dimansuhkan. Ramai yang kurang selesa apabila saya menyatakan perkara itu, tetapi pendirian saya tetap sama walaupun akta tersebut sudah tidak lagi berkuat kuasa,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles