SEOUL: Seorang lelaki warga Malaysia dilaporkan maut selepas dipercayai ditikam dalam satu pergaduhan berkumpulan yang melibatkan beberapa warga asing di Daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, Korea Selatan, awal pagi Ahad.
Menurut laporan Korea JoongAng Daily, polis turut menahan seorang lagi rakyat Malaysia berusia lingkungan 40-an yang disyaki menjadi dalang serangan tersebut.
Suspek kini disiasat atas kesalahan membunuh serta beberapa pertuduhan lain selepas dipercayai menikam mangsa yang berusia 20-an menggunakan sebilah pisau dalam kejadian di sebuah jalan di Daeso-eup kira-kira jam 3 pagi.
Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pergaduhan besar antara dua kumpulan yang masing-masing disertai suspek dan mangsa.
Difahamkan, kira-kira 10 individu terbabit dalam pergaduhan itu sebelum keadaan bertukar ganas apabila suspek didakwa mengeluarkan pisau dan menyerang mangsa.
Mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami, manakala seorang lagi individu turut cedera dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Selepas kejadian, suspek dilaporkan melarikan diri ke sebuah rumah berhampiran, namun berjaya diberkas polis kira-kira sejam kemudian.
Pihak berkuasa kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian dengan mengambil keterangan daripada suspek serta beberapa individu lain yang berada di lokasi pergaduhan.










