KUALA PILAH – Setiap kunjungan dari rumah ke rumah bukan sekadar memenuhi jadual kempen, sebaliknya menjadi medan untuk memahami denyut nadi rakyat dan menyelami sendiri kehidupan masyarakat di peringkat akar umbi, kata calon Bersatu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin.
Beliau berkata, pendekatan itu menjadi keutamaan menerusi Program Ziarah Kasih yang diteruskan di Kampung Talang bagi memberi ruang kepadanya mendengar sendiri pandangan, harapan, keluhan serta keperluan penduduk tanpa sebarang perantara.
Menurutnya, setiap pertemuan bersama penduduk memberikan gambaran sebenar mengenai cabaran yang dihadapi masyarakat, sekali gus membolehkan penyelesaian yang lebih tepat dirangka berdasarkan keperluan sebenar rakyat.
“Kepimpinan yang baik bermula dengan kesediaan untuk turun padang, mendekati rakyat dan memahami realiti kehidupan yang mereka hadapi setiap hari.
“Setiap pandangan yang dikongsikan penduduk akan dijadikan panduan serta keutamaan dalam usaha memperjuangkan kebajikan rakyat, memperkukuhkan perpaduan dan memastikan pembangunan yang lebih inklusif serta memberi manfaat kepada seluruh masyarakat,” katanya.
Megat D. Shahriman berkata, Program Ziarah Kasih bukan sahaja menjadi platform untuk menyantuni penduduk, malah turut mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat melalui interaksi secara bersemuka.
Beliau berkata, kekuatan sesebuah komuniti bergantung kepada semangat kebersamaan, saling menghormati dan keikhlasan untuk membantu antara satu sama lain dalam membangunkan kawasan.
“Saya berharap ukhuwah yang terjalin melalui Program Ziarah Kasih ini akan terus mekar dan menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat Kampung Talang yang lebih harmoni, sejahtera serta diberkati,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh penduduk Kampung Talang atas sambutan mesra serta kesudian meluangkan masa berkongsi pandangan sepanjang program berkenaan.
“Insya-Allah saya akan terus komited bersama rakyat, mendengar suara mereka dan berusaha membawa yang terbaik demi kesejahteraan masyarakat di DUN Seri Menanti,” katanya.










