KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) hari ini mengesahkan bahawa ahli perniagaan kontroversi, Liow Soon Hee, yang lebih dikenali sebagai Nicky Liow, bukan seorang ahli parti berkenaan.
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, pengesahan itu dibuat menerusi semakan terperinci terhadap Sistem Keanggotaan KEADILAN berikutan penularan beberapa gambar dan berita di media sosial yang mengaitkan bekas pimpinan “Geng Nicky” itu dengan parti tersebut.
“Hasil semakan mengesahkan bahawa Liow Soon Hee tiada dalam rekod keanggotaan KEADILAN. Semakan juga mendapati beliau tidak pernah mengemukakan permohonan untuk menjadi anggota KEADILAN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata arahan untuk membuat semakan itu dikeluarkan olehnya bagi mengesahkan kesahihan dakwaan serta penyebaran maklumat yang mengaitkan individu berkenaan baru-baru ini.
Nama Nicky Liow, 36, mula menjadi tumpuan utama negara selepas dipercayai mendalangi pertubuhan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng Nicky’ yang terlibat dalam pelbagai kegiatan haram termasuk penipuan pelaburan dalam talian (Macau Scam), perjudian dalam talian dan pencucian wang.
Kumpulan tersebut turut didakwa menggunakan pelbagai syarikat berdaftar di bawah Winner Dynasty Group untuk melindungi aktiviti haram mereka serta mengubah wang haram menerusi pelaburan perniagaan dan harta tanah.
Pada Mac 2021, pihak polis melancarkan “Op Pelican 3.0” dan menyerbu pangkalan operasi kumpulan berkenaan di Puchong, Selangor, di mana puluhan individu termasuk ahli keluarga Nicky Liow dan rakan sekutu mereka ditahan.
Dalam operasi itu, polis menyita aset bernilai puluhan juta ringgit termasuk kenderaan mewah dan wang tunai.
Nicky Liow, yang melarikan diri semasa serbuan berkenaan dan menjadi buruan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Interpol, akhirnya menyerahkan diri kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman pada April 2022.
Beliau kemudiannya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 26 pertuduhan berhubung kesalahan pengubahan wang haram bernilai jutaan ringgit.
Kes berkenaan menarik perhatian ramai berikutan pembabitan pelbagai pihak berprofil tinggi serta pendedahan rangkaian pengaruh kumpulan itu.










