Anwar Rayu Undi Awal ATM, PDRM Terus Sokong PH

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta ahli keluarga mereka yang terbabit dalam pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan agar terus memberikan sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH).

Menerusi hantaran di Facebook pada Ahad, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata setiap undi yang diberikan bukan sekadar menentukan pentadbiran negeri, malah membawa amanah besar untuk memastikan usaha memperkukuh kebajikan anggota keselamatan dan keluarga mereka dapat diteruskan.

Beliau berkata, sebagai Perdana Menteri yang bertanggungjawab merangka dasar negara, kerajaan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik walaupun mengakui masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.

Menurutnya, antara perkara yang diberi perhatian termasuk peningkatan kebajikan anggota tentera dan polis menerusi aspek gaji, penyediaan kemudahan asas, perumahan, pendidikan anak-anak, penjagaan kesihatan ibu bapa serta pelaksanaan inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Berilah peluang kepada kami untuk meneruskan khidmat dan usaha memperbaiki kebajikan rakyat, khususnya anggota keselamatan serta keluarga mereka,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memaklumkan seramai 889,490 pemilih berdaftar layak mengundi pada PRN Negeri Sembilan yang dijadual berlangsung pada 1 Ogos bagi memilih 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Sementara itu, proses pengundian awal ditetapkan pada 28 Julai, melibatkan anggota ATM, pasangan mereka serta anggota PDRM yang layak mengundi.

BBerkaitan

Latest articles