KUALA LUMPUR: Polemik dan tuntutan peletakan jawatan yang membabitkan beberapa pemimpin politik ketika ini disifatkan sebagai satu ‘sketsa politik’ ulangan yang telah tersasar jauh daripada prinsip utama berkhidmat untuk rakyat.
Pengasas Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, tindakan saling mendesak dan mempertahankan jawatan demi kepentingan kuasa hanya mendedahkan suasana kepura-puraan dalam pentadbiran serta politik negara.
Menurut bekas Timbalan Presiden PKR itu, isu peletakan jawatan sepatutnya dirujuk semula kepada matlamat asal sumpah jawatan menteri, iaitu melaksana amanah dengan sebaik mungkin menerusi kepercayaan serta keyakinan Perdana Menteri.
”Bagi saya, polemik letak jawatan menteri yang berlegar sekarang sepatutnya perlu kembali kepada soal prinsip yang paling utama, apa yang rakyat dapat bila kita ada menteri-menteri dan kerajaan yang sudah jelas saling tidak lagi ada keyakinan dan kepercayaan?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rafizi, yang juga bekas Menteri Ekonomi menjelaskan bahawa melepaskan jawatan secara sukarela demi prinsip merupakan sesuatu yang masih amat asing dalam budaya politik Malaysia, yang mana rata-rata pemimpin lebih cenderung mengekalkan jawatan dan kedudukan selagi boleh.
Mengimbas tindakan beliau dan rakan pengasas Bersama, Nik Nazmi Nik Ahmad yang pernah meletakkan jawatan kabinet sebelum ini, Rafizi menegaskan keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada individu yang mendapat kepercayaan penuh Perdana Menteri agar perancangan kementerian berjalan lancar.
Beliau menambah, tanpa sokongan dan keyakinan daripada ketua kerajaan, sebarang usaha serta buah fikiran seseorang menteri akan menemui jalan sukar untuk dilaksanakan.
Dalam pada itu, Rafizi turut mengkritik perebutan kuasa antara parti yang disifatkannya lebih mengutamakan pengisian jawatan berbanding menyelesaikan masalah rakyat yang terbeban dengan pelbagai isu semasa.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa politik sekadar mengejar kuasa tanpa berteraskan prinsip akhirnya hanya akan merugikan rakyat yang mengharapkan pembelaan serta hala tuju negara yang jelas.










