SEREMBAN: Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) terus memperkemas koordinasi jentera di lapangan bagi memastikan kesiapsiagaan penuh menyantuni pengundi di kesemua 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 1 Ogos ini.
Naib Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, perkara itu antara fokus utama Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan BN-PN yang berlangsung di Wisma UMNO Negeri Sembilan, malam tadi.
Beliau yang hadir mewakili Majlis Tertinggi PN berkata, mesyuarat berkenaan bertujuan memastikan gerak kerja antara jentera kedua-dua pihak dapat digerakkan secara bersatu dan berkesan.
“Semangat kerjasama politik yang dizahirkan dalam mesyuarat ini sangat positif.
“Saya yakin, kesepaduan gerak kerja ini bakal diterjemahkan kepada keputusan yang memihak kepada kita dan membawa kemenangan besar pada hari pengundian kelak,” katanya dalam satu kenyataan.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Setiausaha Politik Presiden UMNO, Datuk Wira Abdul Halim Mohamad.
Turut hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin dan Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Hasim Rusdi.
Wan Saiful turut mendoakan agar segala usaha gigih yang direncanakan oleh seluruh jentera parti dipermudahkan dan membawa kejayaan.










