Azam Nafi Campur Tangan Projek RM178 Juta Milik Syarikat Adik

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, menafikan dakwaan beliau terbabit dalam penganugerahan kontrak kerajaan bernilai RM178.29 juta kepada syarikat milik adiknya, Nasir Baki.

Azam berkata, beliau tidak mengetahui mengenai kontrak pembangunan dan pengoperasian sistem Road Charge serta Vehicle Entry Permit (RC/VEP) di sempadan Malaysia-Singapura itu, sambil menegaskan urusan tersebut adalah tanggungjawab syarikat dan kementerian berkaitan.

“Itu urusan perniagaannya. Saya sudah bersara dan terpulang kepada kementerian untuk menganugerahkan projek itu kepada syarikatnya,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada hubungan kekeluargaan perlu dijadikan isu dalam setiap urusan melibatkan ahli keluarganya.

Sebelum ini, laporan menyebut Integriti Padu Sdn Bhd menerima kontrak selama enam tahun bagi membangunkan serta mengendalikan sistem berkenaan selepas proses permintaan cadangan dibuka pada Jun tahun lalu.

Nasir dilaporkan memiliki 34 peratus pegangan saham dalam syarikat terbabit.

Azam sebelum ini turut menjadi perhatian susulan isu pemilikan saham pada 2015 yang dikaitkan dengan akaun dagangan saham miliknya yang digunakan oleh Nasir.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Sekuriti (SC) kemudian memaklumkan siasatan tidak menemukan bukti konklusif berlakunya pelanggaran undang-undang sekuriti.

Beliau sekali lagi berdepan dakwaan berkaitan pemilikan saham awal tahun ini selepas didakwa melanggar pekeliling kerajaan berhubung had pemilikan modal dalam syarikat oleh penjawat awam.

Dakwaan itu kemudian disiasat pasukan petugas khas kerajaan pada Februari lalu, sebelum Putrajaya memaklumkan tindakan sewajarnya telah diambil berdasarkan hasil penelitian jawatankuasa berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles