GPS, GRS, BN, PN Sepakat Nafi Wujud ‘Pertemuan Rahsia’

KUALA LUMPUR: Dakwaan mengenai pertemuan antara gabungan parti politik dari Borneo bersama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dinafikan sekeras-kerasnya oleh pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta BN.

Ketua Whip GPS yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, menegaskan tiada sebarang pertemuan atau jemputan diterima daripada mana-mana pihak seperti yang didakwa berlaku.

“Ya, tiada,” katanya ringkas ketika mengulas dakwaan berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali turut menafikan mengetahui sebarang pertemuan yang dikaitkan dengan gabungan terbabit.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, GRS tidak pernah membincangkan sebarang jemputan atau perancangan untuk mengadakan pertemuan sedemikian di peringkat kepimpinan parti.

Menurut beliau, fokus utama GRS ketika ini adalah memastikan agenda pembangunan serta kebajikan rakyat terus diberi keutamaan, terutama ketika negara berdepan cabaran ekonomi dan kesan ketidaktentuan geopolitik global.

“Tiada maklumat berhubung pertemuan yang ditularkan dan tidak pernah ada perbincangan dalam kepimpinan GRS berkaitan sebarang jemputan atau perancangan pertemuan sedemikian.

“Tempoh kerajaan Persekutuan masih berbaki lebih setahun setengah dan negara juga sedang berdepan impak konflik geopolitik global,” katanya.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut menolak dakwaan berlaku pertemuan antara empat gabungan berkenaan seperti yang tersebar di media sosial.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata beliau tidak mengetahui mengenai perkara tersebut dan menegaskan BN akan terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Sebelum ini, wujud dakwaan bahawa GPS, GRS, BN dan PN akan mengadakan satu sidang media bersama pada jam 2 petang, namun tiada sebarang sidang media berlangsung seperti yang diperkatakan.

Dakwaan berkenaan turut mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan wujudnya penjajaran politik baharu melibatkan gabungan utama negara, namun dinafikan oleh semua pihak berkaitan.

BBerkaitan

Latest articles